Skip to main
Logo Malaysiakini

Keluarga PI Bala, Deepak selesaikan saman berkaitan pembunuhan Altantuya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes tuntutan mahkamah berkaitan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu di antara keluarga penyiasat persendirian (PI) mendiang P Balasubramaniam dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan telah berjaya diselesaikan di luar mahkamah

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan tindakan sivil keluarga tersebut dibatalkan tanpa kebebasan untuk difailkan semula.

Balasubramaniam, juga dikenali sebagai PI Bala, adalah saksi utama dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya pada 2006.

Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili isteri PI Bala, A Santamil Selvi dan tiga anaknya, mengesahkan bahawa pihak telah menyelesaikan tindakan undang-undang berhubung dakwaan keluarga itu bahawa dipaksa berada dalam buangan di India berikutan pembunuhan pada tahun 2006 tersebut.

Peguam itu berkata selepas dimaklumkan mengenai penyelesaian secara baik, hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh semalam membatalkan tindakan sivil itu.

"Kedua-dua pihak telah menyelesaikan perkara itu dengan syarat yang perlu dirahsiakan," kata Guok ketika dihubungi.

Selain Santamil, tiga lagi plaintif dalam saman sivil itu ialah anaknya B Kishen, B Menaga, dan B Reeshi.

Tuntutan keluarga itu pada mulanya membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, dan enam yang lain.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya berjaya dalam usaha awal untuk mengecualikan diri masing-masing daripada saman sivil berkenaan.

Enam yang lain itu adalah dua adik beradik Najib; Ahmad Johari dan Mohd Nazim; peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai; serta pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat.

PI Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Melalui saman sivil mereka, keluarga itu mendakwa mereka terpaksa berada dalam buangan di India berikutan akuan berkanun kedua yang dibuat oleh Balasubramaniam berhubung pembunuhan Altantuya.

Keluarga itu mendakwa bahawa mereka tinggal di India selama empat tahun lapan bulan mulai 4 Julai 2008.

Balu dan anak-anaknya menuntut ganti rugi RM840,000 - termasuk sewa pangsapuri di Chennai, India, yuran sekolah, dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan dan kos pengangkutan.

Keluarga itu juga menuntut ganti rugi am dan khas serta kos.