Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng: Sabah terima peruntukan lebih tinggi di bawah PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Sabah menerima peratusan peruntukan yang lebih tinggi di bawah Belanjawan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, berbanding Belanjawan 2022.

Kata ahli parlimen Bagan itu, Sabah menerima peruntukan tertinggi di kalangan semua negeri semasa PH menjadi kerajaan persekutuan.

"Tidak boleh dinafikan bahawa daripada segi peratusan, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang lebih rendah di bawah Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2020 PH.

"Perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2022 meningkat kepada RM75.6 bilion berbanding RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 PH.

"Bagaimanapun, Sabah masih menerima jumlah perbelanjaan pembangunan RM5.2 bilion yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang diperuntukkan PH dalam Belanjawan 2020," katanya.

Tegas Lim, dalam erti lain, Sabah menerima peruntukan yang lebih rendah iaitu 6.9 peratus daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2022 berbanding 9.3% di bawah Belanjawan 2020 PH.

"Jika Sabah diberi 9.3 peratus perbelanjaan pembangunan yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang PH telah diberi dalam Belanjawan 2020, maka Sabah sepatutnya menerima RM7 bilion dan bukannya RM5.2 bilion dalam Belanjawan 2022," katanya.

Lim berkata DAP tidak menentang peruntukan RM11.4 bilion untuk masyarakat bumiputera tetapi perlu ada peruntukan yang lebih dan adil untuk Sabah, Sarawak serta semua rakyat Malaysia.

“Belanjawan 2022 tidak mengendahkan rasa tidak senang masyarakat bukan Bumiputera bahawa walaupun membentuk 30 peratus daripada populasi, mereka hanya menerima RM345 juta atau 0.1 peratus daripada Belanjawan 2022 yang berjumlah RM332 bilion.

"Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis dalam peruntukan Belanjawan tidak akan membantu dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian golongan miskin dan perniagaan, terutamanya PKS," kata Lim.

Dia turut membangkitkan soal keadilan dan daya saing dengan kenaikan unilateral kuota bumiputera bagi kontrak perolehan besar kerajaan daripada 30 peratus kepada 61 peratus tanpa sebarang rundingan.

"Sabah dan Sarawak yang hanya mendapat manfaat yang kecil daripada kuota Bumiputera, menimbulkan persoalan keadilan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Semasa perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Sabah seperti Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan dan Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap peruntukan yang tidak mencukupi untuk Sabah dan Sarawak.