Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pendidikan peranannya membebaskan, bukan menindas'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktivis Adam Adli Abdul Halim berkata pendidikan ialah mekanisme yang berperanan untuk membebaskan seseorang, bukannya bersifat menindas.

Pada masa sama katanya seseorang pendidik perlu memiliki empati terhadap keadaan yang dialami seseorang pelajarnya.

"Guru yang tiada empati kepada kemiskinan dan kesempitan anak didiknya tidak harus menjadi guru," katanya melalui satu ciapan di Twitter hari ini.

Dia yang kini bergiat bersama PKR menambah, ketegasan semasa mengajar bukanlah alasan untuk menghina sesiapa.

"Kemiskinan itu sistemik, takkan seorang sarjana tak faham asas ini?" katanya lagi.

Ciapan Adam Adli dibuat ketika perhatian orang ramai tertumpu kepada salah seorang tenaga pengajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dirakam memarahi pelajarnya kerana masih tidak memiliki komputer riba walaupun sudah berada di semester kelima.

Ia menjadi lebih panas apabila pensyarah terbabit mengaitkan situasi itu dengan kumpulan rakyat berpendapatan rendah (B40).

Gantung tugas kalau perlu

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan mereka akan meneliti kes tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya. Pelajar terbabit pula, kata institusi pengajian tinggi berkenaan, sudah dibantu.

Sementara itu Biro Kebajikan Pelajar Parti Demokratik Malaysia (Muda) Perak turut mengkritik tindakan pensyarah tersebut dan berpendapat dia sepatutnya memberi bantuan kepada mahasiswa berkenaan bukan menghina.

"Bukan saja belajar perlu adab, mengajar pun sama. Kena keluar daripada buih keselesaan dan jenguk kesusahan orang sekeliling juga. Daripada kutuk orang yang perlukan bantuan, hulurkanlah bantuan.

"Prof boleh guna kuasa dan pengaruh yang ada untuk bantu, buat crowfund (pengumpulan dana), misalnya.

"Muda Perak juga nak beri 10 buah laptop percuma kepada pelajar yang memerlukan. Tolong hubungi Ahvinraj di talian 0167195674," kata parti itu dalam satu kenyataan.

Kelvin Yii

Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii menyifatkan kelakuan ahli akademik tersebut tidak harus dipandang remeh malah tidak perlu dipertahankan selain perlu dikenakan tindakan.

"Sebagai seorang ahli akademik atau pensyarah, dia sepatutnya lebih bersimpati dan memahami keadaan mahasiswa tersebut serta berusaha untuk membantu, bukan memperli atau menghinanya kerana tidak mampu memiliki komputer riba atau atas taraf sosio-ekonomi keluarganya.

"Walaupun mahu memberikan nasihat, haruslah ada sifat kemanusiaan untuk mendidik dan memastikan seseorang mahasiswa tersebut dapat merealisasikan potensinya dan akhirnya membawa bakti kepada negara kita.

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa isu ini tidak harus dipandang remeh dan pihak UiTM perlu memastikan ahli akademik tersebut dikenakan tindakan sewajarnya termasuk digantung sementara siasatan dijalankan," katanya.