Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Tiada lagi 'daftar masuk' MySejahtera jika penularan tak memburuk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sistem pengesanan kontak tidak akan diteruskan jika keadaan penularan Covid-19 tidak memburuk selepas 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata kementeriannya perlu meneliti kesan pembukaan semula sempadan negara dan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) terlebih dulu.

Proses ini akan mengambil masa beberapa minggu, katanya.

“Jika tiada perubahan signifikan, kita boleh hentikan (pengesanan kontak),” katanya seperti dipetik laman The Vibes.

Mulai 1 April, pengunjung dari luar negara yang telah “divaksin penuh” tidak akan perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Malaysia, manakala mereka yang belum divaksin penuh perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Antara pelonggaran SOP adalah kedai makan dan restoran boleh meneruskan operasi selepas tengah malam dan sembahyang jemaah di masjid serta surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat agama boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Status vaksinasi juga tidak lagi diperlukan untuk perjalanan rentas negeri dan bagi menentukan had kapasiti di tempat pekerja.

 Pelonggaran ini sebagai persediaan menuju Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, di mana rakyat Malaysia perlu hidup di tengah-tengah wabak ini.

Terdahulu, beberapa pihak seperti Persatuan Perubatan Malaysia dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata fungsi pengesanan kontak dalam MySejahtera tidak lagi diperlukan dalam fasa endemik.

Sementara itu, Khairy berkata kontrak untuk MySejahtera akan dimuktamadkan “dalam tempoh sebulan”.

Dia juga sekali lagi berkata semua data yang dikumpul melalui aplikasi itu selamat di bawah kawalan kerajaan.