Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Laporan EIA projek tambak laut Muar tak memadai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa projek Maharani Energy Gateway ditolak setelah mendakwa mutu laporan penilaian impak alam sekitarnya (EIA) tidak memadai dan tidak boleh diluluskan.

Antara sebab yang dibangkitkan NGO alam sekitar itu adalah kegagalan EIA mengambil kira unjuran peningkatan paras laut bagi Malaysia ekoran perubahan iklim.

“EIA gagal menilai kemungkinan kesan gangguan pasang surut ekoran peningkatan paras laut dan perubahan iklim dan juga jika cadangan projek ini akan menyebabkan gangguan saline di sepanjang Sungai Muar.

“Masalah banjir dan air bergenang di kawasan yang dikaji adalah fenomena lazim. Salah satu tapak rekreasi di sana, Pantai Mesra Seri Menanti, telah pun mengalami hakisan ekoran kesan ombak ketika air pasang,” kata SAM dalam kenyataan.

SAM berkata lagi, Kampung Seri Menanti di sekitarnya telah mengalami banjir setiap kali fenomena air pasang.

Dengan mengambil kira peningkatan paras laut dan perubahan iklim, projek itu boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.

NGO itu juga membidas laporan EIA kerana menyimpulkan kesan kegiatan penambakan terhadap pokok bakau adalah tidak signifikan berdasarkan kajian rangsangan hidraulik pada cadangan penambakan itu.

Ia juga menyifatkan penilaian terhadap kesan paras air sebagai boleh dipersoalkan.

Menurut SAM, laporan EIA itu tidak boleh diluluskan jika ia bertentangan dengan  Rancangan Struktur Johor dan Rancangan Tempatan Daerah Muar yang telah diwartakan.

NGO itu juga mendakwa projek penambakan seumpama itu memerlukan kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara seperti digariskan dalam Seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Jejas alam sekitar, nelayan

Menurut NGO itu lagi, laporan EIA gagal mengambil kira akses laut untuk para nelayan, kehilangan kekal habitat dasar laut, kajian penilaian risiko marin yang lengkap, penilaian ekonomi menyeluruh dan analisis kos-faedah.

SAM juga membantah cadangan EIA untuk menebang pokok bakau, atas dasar pokok tersebut membantu dalam melawan perubahan iklim.

Laporan itu, yang pada mulanya dimuat naik kepada awam di laman web rasmi projek Maharani Energy Gateway, telah diturunkan setelah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan kebimbangan berkenaannya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan projek milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu mungkin akan bermula seawal tahun ini.

Ia untuk mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat saiz Putrajaya.

Menurut laporan EIA projek itu: “Nelayan yang sering menangkap ikan di kawasan yang terjejas itu perlu mencari lokasi lain.”

Menurut laporan itu, penerusan kegiatan itu akan meningkatkan kos kerana nelayan perlu membuat perjalanan lebih jauh ke kawasan alternatif.

Laporan itu juga berkata ia meninjau terhadap situasi 101 nelayan mengenai projek itu dan kebanyakan mereka (49 nelayan) tidak mempunyai pendapat terhadap perkara itu, manakala 23 bersetuju dengan cadangan itu.

Nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu dianggarkan RM99 bilion untuk tempoh 10 tahun dan diunjurkan untuk mewujudkan 26,769 peluang pekerjaan.

[Baca berita asal]