Mukhriz: Bersatu nak kerjasama dengan Pejuang dalam PRU15
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mendakwa Bersatu telah mendekati partinya untuk meneroka kemungkinan kerjasama dalam PRU akan datang.
Menurut Mukhriz, pemimpin kedua-dua parti itu, iaitu Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad, bertemu dua minggu lalu selepas PRN Johor.
"Muhyiddin jumpa Dr Mahathir dua minggu selepas PRN Johor. Dia minta untuk bertemua dan Dr Mahathir setuju," katanya kepada pemberita selepas program Pejuang di Kuala Terengganu, hari ini.
Hubungan kedua-dua pemimpin itu tidak lagi mesra setelah Langkah Sheraton, yang disusuli dengan pemecatan beberapa pemimpin Bersatu daripada parti itu.
Kata Mukhriz lagi, Pejuang bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada untuk bekerjasama dengan Bersatu atau tidak.
Semalam, New Straits Times melaporkan yang Mahathir menyangkal dakwaan bahawa partinya akan membentuk pakatan politik dengan Bersatu dan PAS.
Mahathir berkata Pejuang lebih cenderung untuk bergerak secara solo ekoran perbezaan dalam perjuangan asas dengan parti lain.
Selain Bersatu, Mukhriz berkata parti pembangkang lain turut mencadangkan untuk bekerjasama dengan Pejuang dalam PRU akan datang.
Pejuang sanggup melupakan peristiwa lalu dan bekerjasama dengan Bersatu demi kebaikan negara, katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai