Skip to main
Logo Malaysiakini

Lapangan terbang seluruh negara siap sedia sempadan buka semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lapangan terbang di seluruh negara bersiap sedia untuk memastikan pengalaman yang selamat dan lancar buat semua pengguna lapangan terbang, sejurus sempadan dibuka semula hari ini selepas dua tahun ditutup sejak Mac 2020.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan semalam berkata kumpulan itu komited dalam memastikan standard tinggi yang konsisten di lapangan terbang.

“Untuk beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah mengadakan libat urus harian dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar. Tiada yang tertinggal dari perhatian kami. Bukan sahaja kami melihat pada semua aspek perjalanan penumpang, kami juga memastikan pematuhan pada semua peraturan penerbangan,” katanya.

Dia berkata antara penambahbaikan yang dibuat termasuk memendekkan proses dokumentasi ketika ketibaan dengan meminta penumpang menyempurnakannya di aplikasi MySejahtera sebelum berlepas dari negara asal mereka.

Kawasan beratur di kaunter Imigresen juga telah diluaskan untuk keselesaan penumpang, tambahnya.

Iskandar berkata bagi memudahkan lagi penumpang, fasiliti saringan kesihatan swasta disediakan di lapangan terbang antarabangsa yang berfungsi sebagai pusat sehenti dengan perkhidmatan pratempah menerusi portal dalam talian, bagi penumpang menjalani ujian RTK-Ag profesional.

Berdasarkan jadual penerbangan yang telah difailkan, lapangan terbang seluruh negara dijangka menerima 119 penerbangan pada hari pertama pembukaan semula sempadan negara.

Malaysia Airports turut meramalkan pergerakan kira-kira 20,900 penumpang antarabangsa pada 1 April, iaitu enam kali lebih banyak daripada purata pergerakan harian penumpang antarabangsa pada 2021.

Sementara itu, CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo berkata pihaknya telah menjalankan penyeliaan keselamatan efektif ke atas lapangan terbang dan operator penerbangan di Malaysia dan pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan pada peraturan dan norma baru.

“Ini sesuatu yang menggalakkan, ketika industri penerbangan bersedia untuk permulaan semula yang selamat. CAAM ingin memuji Malaysia Airports dan operator penerbangan yang mengambil serius pematuhan ini demi keselamatan orang ramai,” katanya.

-Bernama