Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi: Masalah Sapura boleh selesai tanpa guna idea bailout Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rafizi Ramli menyifatkan kemelut kewangan yang dihadapi Sapura Energy Bhd bukan perkara luar biasa dalam dunia perniagaan global dan ia boleh diselesaikan tanpa bergantung kepada bailout kerajaan.

Rafizi berkata kepimpinan Sapura Energy yang baru dilantik terdiri daripada golongan profesional ternama dan dia yakin mereka sedang mencuba yang terbaik untuk memulihkan syarikat tanpa perlu menggunakan dana awam, seperti yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

"Oleh kerana krisis yang dialami Sapura ini bukanlah unik, kita juga tahu jalan penyelesaian yang telah diambil oleh syarikat-syarikat lain di seluruh dunia yang telah berjaya memulihkan syarikat-syarikat berkenaan.

"Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib," katanya dalam kenyataan hari ini .

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, selepas meneliti dan mengenal pasti punca masalah kewangan Sapura Energy, dia dapati ia adalah kerana terlalu banyak penekanan terhadap memenangi projek untuk meningkatkan harga saham mereka yang seterusnya akan menyaksikan peningkatan dalam imbuhan pegawai eksekutif.

Harga saham

"Apabila gaji dan bonus pengarah eksekutif bergantung kepada paras harga saham Sapura, sudah tentu motivasi pengurusan Sapura sebelum ini untuk menaikkan harga saham secepat mungkin.

"Lebih tinggi harga saham, lebih besar bayaran gaji dan bonus.

"Ini mendorong Sapura untuk membida projek-projek pada harga yang lebih rendah atau pun tanpa mengukur kemampuannya menyiapkan projek-projek ini mengikut ketetapan kontrak, supaya Sapura boleh mengumumkan ia terus memenangi bidaan projek di seluruh dunia. Lebih banyak projek yang diumumkan, lebih tinggi harga sahamnya," jelas Rafizi.

Namun untuk membiayai projek-projek yang mereka perolehi, katanya, Sapura Energy terus mengambil lebih banyak hutang dan akhirnya aliran tunai tidak mencukupi untuk menampung kos dan pembayaran hutang.

Apabila ini berterusan dan sebahagian dana yang dikutip digunakan untuk membayar gaji dan bonus pengarah eksekutif yang terlampau tinggi, aliran tunai yang dibayar dari projek-projek akhirnya tidak cukup untuk menampung kos, katanya lagi.

"Ini bukan masalah yang unik kepada Sapura. Beratus-ratus syarikat gergasi di seluruh dunia telah melalui krisis aliran tunai sebegini sejak 50 tahun yang lepas.

"Jika Najib seorang yang membaca dan mahir dalam pengurusan kewangan, sepatutnya dia pun tahu," katanya lagi.

Sangat berkemampuan

Dia kemudian menegaskan bahawa pengerusi baru lembaga pengarah Sapura Energy ialah Shamsul Azhar Abbas, yang pernah menjadi presiden dan CEO Petronas.

Pemimpin baru Sapura Energy lain termasuk bekas pengerusi Shell Malaysia Mohd Anuar Taib yang pernah mengetuai perniagaan minyak dan gas huluan Petronas sebagai naib presiden eksekutifnya sebelum menyertai Sapura Energy.

Selain itu, turut serta adalah Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang pernah menjadi CEO Shell di rantau ini serta pengerusi Maybank dan Felda, sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah kanan Sapura Energy yang baru.

Rafizi berkata, pengalaman terkumpul tiga pemimpin yang disegani dalam industri ini adalah lebih 100 tahun tetapi yang lebih penting, mereka dikenali sebagai pemimpin yang jujur ​​dan profesional.

"Mereka lebih cerdik dan mempunyai kepakaran dalam bidang mereka berbanding Najib. Mereka tidak pernah mendakwa mereka bodoh sehingga boleh ditipu berbilion ringgit oleh seorang budak bernama Jho Low.

“Lebih penting, mereka dikenali sebagai profesional dan jujur. Mereka menerima permintaan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy kerana mereka patriotik, walaupun mereka boleh bersara begitu sahaja, berbanding Najib yang tidak mahu bersara walaupun telah dijatuhkan hukuman penjara kerana merompak dana pencen rakyat, ” kata Rafizi lagi.

Langkah konkrit

Kepimpinan baru Sapura Energy sudah pun mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikan isu kewangan syarikat, katanya, yang kebanyakannya selaras dengan cadangan yang diterima daripada pakar industri.

Antara langkah itu adalah mendapatkan kuasa untuk merundingkan penstrukturan semula pembayaran hutang kepada pemiutang dan vendor , mengumumkan penarikan balik projek Kuasa Angin Yunneng di Taiwan yang bermasalah, memfokuskan kepada 59 projek khusus melalui pelan rasionalisasi yang dipanggil 'Reset Plan' serta mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas yang diketuai CEO dan lima ahli lembaga pengarah untuk merangka pelan pemulihan.

"Tenaga profesional yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasional yang berkepakaran ini wajar diberi ruang menjalankan amanah mereka tanpa perlu ada gangguan politik atau campur tangan.

"Lebih teruk lagi, perangai licik Najib yang ingin mempolitikkan isu aliran tunai Sapura demi meraih sokongan rakyat sebenarnya tidak membantu usaha mereka.

"Saya menyeru rakyat Malaysia meletakkan harapan kita di bahu tokoh-tokoh ini, bukannya Najib yang rekod pengurusannya telah memiskinkan negara dan menyusahkan rakyat," katanya lagi.

Najib sebelum ini menggesa agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy, dengan mengatakan bahawa PNB akan kerugian RM4 bilion jika syarikat itu dibiarkan muflis.

Pada September 2018, PNB telah meningkatkan pegangannya dalam Sapura Energy daripada 12.16 peratus kepada 40 peratus.

Rafizi kemudiannya mendakwa Najib mengutamakan golongan elit perniagaan dalam mencadangkan agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy.

Anak syarikat konglomerat Kumpulan Sapura, Sapura Energy telah mengalami kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, Sapura Energy mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.

Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah diberikan petisyen penggulungan pada awal Mac.