Skip to main
Logo Malaysiakini

Loh lapor polis terhadap Dewan Ulama PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ibu tunggal, Loh Siew Hong hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Dewan Ulama PAS yang menggesa kerajaan memastikan tiga anak wanita itu tidak keluar daripada Islam.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Loh berkata kenyataan itu, yang disiarkan di laman Facebook PAS, bertujuan menghalangnya daripada mendapatkan perintah dalam permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan'agama secara sepihak.

"Hantaran di atas adalah berbentuk ugutan jenayah, hasutan dan salahguna multimedia yang bertujuan untuk menghalang saya daripada mendapatkan perintah-perintah yang dipohon dalam permohonan semakan kehakiman, yang mana prosiding masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya dalam laporan polis yang dibuat pagi tadi di Balai Polis Sentul.

Loh sebelum ini berjaya dalam cabaran undang-undang untuk membatalkan penahanan tiga anaknya yang dilarikan oleh bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.

Nagahswaran yang kini dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah didakwa mengislamkan kanak-kanak terbabit tanpa pengetahuan Loh.

Loh mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada Disember tahun lalu.

Laporan polis itu juga dibuat terhadap pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung yang telah memuat naik gambar dan video Loh serta anak-anaknya di Facebook, yang menurutnya bertujuan mengaibkannya dan memberikan tekanan supaya dia tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Loh berkata pendakwah itu juga memfitnahnya dengan mengatakan dia ada “menyimpan lelaki lain”.

"Tujuan saya membuat laporan polis ini supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terlibat," menurut laporan polis itu.

Sebelum ini, Dewan Ulama PAS menggesa kerajaan mengutamakan kemaslahatan tiga adik beratik itu dan memastikan mereka tidak dipaksa kembali murtad.

“Dewan Ulama PAS Pusat mendesak pihak kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak-anak Puan Loh yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad.

“Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam,” kata kenyataan tersebut.

Peguam Loh, Shamsher Singh menyangkal kenyataan tersebut dengan menjelaskan semakan kehakiman yang difailkan oleh Loh bertujuan memastikan kesahihan penukaran agama anak-anaknya kerana ia dilakukan tanpa persetujuannya.

“Jika Mahkamah Tinggi mengisytiharkan penukaran agama anak-anak Loh adalah tidak sah, itu bermakna mereka tidak pernah beragama Islam sejak awal,” katanya.

Oleh itu, katanya, isu apakah Loh menyebabkan anak-anaknya keluar daripada Islam tidak timbul.

“Saya menyeru semua pihak, termasuk PAS dan pendakwah bebas seperti Zambri Vinoth dan Firdaus Wong, supaya bersabar dan menyerahkannya kepada undang-undang.

"Tiada apa-apa yang bermakna yang boleh diperoleh daripada membuat kenyataan provokatif," kata Shamsher.

[Baca berita asal]