Pekerja pembersihan dimaklumkan CIMB akan selesaikan isu rumah dilelong
NOTA EDITOR: Laporan ini telah dikemas kini untuk menjelaskan bahawa selain tunggakan RM2,567, pasangan itu masih mempunyai lebih RM40,000 pinjaman untuk diselesaikan.
Nasib pekerja pembersihan sekolah, Tamil Selvi akhirnya mendapat pembelaan selepas dia dihubungi Bank CIMB.
Ia berhubung isu pinjaman perumahan yang menyebabkan kediamannya di Ipoh dilelong oleh pihak bank itu tanpa pengetahuannya.
Tamil ketika dihubungi berkata seorang pegawai Bank CIMB telah menghubunginya sekitar jam lapan malam semalam bagi memaklumkannya dan ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Rani Rasiah yang pihak bank akan cuba melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu terbabit.
“Mereka belum buat keputusan lagi, tetapi mereka berkata mereka akan memprosesnya. Saya tidak pasti apa yang mereka maksudkan dengan itu, tetapi itulah yang saya diberitahu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, PSM mengadakan protes serentak di lima cawangan Bank CIMB di seluruh negara bagi menyokong Tamil yang didakwa menjadi mangsa salah laku oleh bank itu berhubung pinjaman perumahan.
Protes dilakukan di luar lima cawangan Bank CIMB di Ipoh, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Seremban, Pulau Pinang.
Rumah Tamil di Ipoh telah dilelong Bank CIMB pada Oktober 2020 dengan harga RM140,000 selepas didakwa gagal membayar balik tunggakan sebanyak RM2,567, selain baki pinjaman lebih RM40,000 lagi.
Tamil mendakwa dia membayar pinjamannya setiap bulan selama 15 tahun.
Bagaimanapun, pada tahun 2019, suaminya diserang angin ahmar, namun dia masih membayar pinjamannya.
Hanya tiga kali dia gagal membuat pembayaran, iaitu pada Februari, April dan September 2020.
Mengulas lanjut perkara itu, CIMB ketika dihubungi sekali lagi menegaskan bahawa jawapannya adalah sama seperti kenyataannya yang dikeluarkan pihaknya semalam.
“Kami tidak boleh mendedahkan atau mengulas mengenai nama atau pelanggan tertentu.
“Pada setiap masa, CIMB komited untuk memastikan layanan adil kepada pelanggan, termasuk mengikut prosedur pemulihan standard dan melibatkan pelanggan untuk menangani sebarang isu yang mereka hadapi,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai