Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu jual tanah lapangan terbang: MB Perak serah pada pihak berkuasa siasat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Negeri Perak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tidak akan sekali-kali berselindung malah mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin membuat laporan mengenai isu itu.

"Kalau ada sesiapa mahu membuat laporan maka siasatan akan dibuat, jadi terpulanglah. Biar pihak berkuasa melakukan siasatan.

"Saya tidak akan menyapu sampah bawah permaidani, saya tidak akan menghalang apa-apa," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 kepada 58 kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Pengerusi Parti Amanah Negara Perak Datuk Asmuni Awi dalam sidang media hari ini berkata penjualan tanah itu adalah di luar pengetahuan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan ia tidak pernah dibangkit serta dibincangkan dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

Semalam, Saarani berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana semasa pemerintahan Barisan Nasional, ia dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa tanah itu telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Beliau mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab dan merupakan salah laku yang cukup serius.

Katanya pihak yang bertanggungjawab menjual tanah itu perlu diheret ke muka pengadilan.

- Bernama