Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada jalan pintas ke Putrajaya - Kem Rafizi mahu kembalikan identiti PKR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua calon naib presiden PKR yang menyokong bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu mengakui tiada "jalan pintas" untuk menawan semula Putrajaya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang menjelaskan hasrat mereka untuk mengisi dua daripada empat jawatan naib presiden PKR bersama pasukan Rafizi.

Kedua-duanya berkata, barisan kepimpinan baru diperlukan bagi mengukuhkan parti itu ketika sokongan kepada PKR berada di tahap paling rendah rentetan kekalahannya dalam pilihan raya sejak pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

“Untuk menolong dan membantu parti, kami perlu memperkuatkan asas sokongan kami.

"Kami berharap dengan menggunakan pendekatan berbeza, selain daripada menghentam kerajaan kerana mengkhianati mandat rakyat atau mendapatkan kembali kuasa, kita harus memberi tumpuan kepada menawarkan dasar yang lebih baik yang lebih dekat di hati rakyat," kata Chang, yang juga penyandang naib presiden PKR.

Calon ketiga, G Manivanan yang juga bekas ahli parlimen Kapar turut mengumumkan pencalonannya sebagai calon naib presiden yang menyokong Rafizi.

Merujuk kepada Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan berkuasa, Nik Nazmi berkata usaha mendapatkan kuasa "melalui jalan pintas" perlu diketepikan sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang yang dikhabarkan akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

"Cara terbaik adalah memiliki pasukan muda yang berkebolehan (dalam PKR). Kami berbangga dengan parti kami, identiti dan apa yang kami pertahankan.

“Apa yang Rafizi jelaskan ialah kita harus kembali dan pertahankan apa yang PKR percaya.

"Ada perbincangan mengenai jalan pintas untuk berkuasa sejak Langkah Sheraton, tapi kita perlu melangkaui itu sekarang memandangkan PRU tidak lama lagi.

“Saya rasa orang ramai mahu melihat identiti jelas PKR dan Pakatan Harapan dalam menuju PRU15 akan datang,” kata Nik Nazmi yang merupakan ahli majlis pimpinan pusat parti itu.

Rafizi bulan lalu mengumumkan hasrat bertanding jawatan timbalan presiden PKR. Selain itu dia juga berperang mulut dengan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung satu lagi skandal yang didakwa berlaku dalam institusi awam, kali ini membabitkan pengurusan Sapura Energy.

Rafizi tidak mempertahankan kerusi parlimen Ampang pada PRU14. Pada tahun yang sama dia kalah tipis dalam pertandingan bagi jawatan timbalan presiden PKR yang disandang Azmin Ali ketika itu.

Dia kemudiannya dilantik sebagai naib presiden sebelum berundur pada 2019, ketika bulan-bulan awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Chang berkata, pengalaman bersama mereka dalam PKR dan politik mencetuskan "pemikiran yang sama", dengan fokus yang melangkaui tujuan menawan semula Putrajaya pada PRU15.

"Saya fikir selain sejarah dan latar belakang kami, adalah penting kami adalah pasukan yang berfikiran sama, ia bukan tentang Rafizi per se.

"Saya fikir untuk mendapatkan kuasa adalah penting tetapi kita perlu sekurang-kurangnya memiliki beberapa nilai dan prinsip. Kita tidak boleh berhabis-habisan untuk mendapat kuasa tanpa sebarang keuntungan.

"Itulah yang kami fikir sebagai satu pasukan. Sebab itu kami menawarkan pendekatan lain dan memberi tumpuan kepada dasar," kata Chang, juga bekas pemimpin Pemuda PKR (AMK) dan penyandang naib presiden.

“Pakatan Harapan agak terganggu selepas Langkah Sheratone dan saya tidak menyalahkan sesiapa,” kata Nik Nazmi.

“Kami tidak pernah menjadi menteri dan mungkin pemikiran kami berbeza.

"Kalau kami menjadi menteri sebelum ini, mungkin kami akan lebih cenderung untuk mendapatkan semula kuasa. Tetapi sekarang pendekatannya ialah kita perlu menghadapi pilihan raya umum dan oleh itu kita perlu jelas tentang pendirian kita.

“Tiada jalan pintas untuk berkuasa,” tegas Nik Nazmi.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang juga bekas menteri ketika pentadbiran kerajaan PH, semalam mengesahkan akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden.

Saifuddin merupakan individu ketiga yang mengumumkan untuk bertanding jawatan itu selepas Rafizi dan bekas pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi mengimbas semula bagaimana pertama kali menyokong Rafizi bagi jawatan ketua Pemuda PKR (AMK) pada 2010, sembilan tahun selepas Rafizi membawanya masuk ke parti itu.

Rafizi pada masa itu mengumumkan hasratnya merebut jawatan ketua AMK tetapi akhirnya menarik diri daripada bertanding. Jawatan itu dimenangi oleh Shamsul Iskandar Md Akin setelah berjaya menewaskan Badrul Hisham Shaharin.

Pemilihan PKR lepas menyaksikan pertembungan antara Rafizi dan Azmin yang mencetuskan pertelingkahan antara kem dalam parti itu.

Kemuncaknya, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak dan sembilan ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu bersama penyokong mereka.

Pimpinan PKR juga melakukan pembersihan dalam parti di mana ahli dan pemimpin yang didakwa sebagai penyokong Azmin disingkirkan.

"Berpuak-puak itu tidak ada (lagi). Itu sangat jelas.

"Walaupun berpuak-puak adalah sebahagian daripada politik, saya rasa lebih mudah untuk bekerja dalam rangka kerja sekarang," kata Nik Nazmi.

“Kami secara keseluruhan boleh mengadakan perbincangan dan komunikasi yang lebih baik yang tak berlaku pada masa sebelum ini.

"Ada juga yang masih kekal tegar tetapi mereka kebanyakannya memahami keperluan untuk meletakkan parti di atas segala-galanya," katanya.

Nik Nazmi dan Chang juga menjangkakan "pertandingan adik beradik" antara Rafizi dan Saifuddin, berdasarkan hubungan kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang setakat ini dijangka mempertahan jawatannya tanpa bertanding.

Nik Nazmi berkata walau apa pun keputusannya, dia membayangkan barisan diketuai Anwar akan melibatkan Rafizi dan Saifuddin, serta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR sejak Disember 2018.

Anak perempuan Anwar itu membayangkan kepulangannya sebagai sebahagian daripada pasukan Rafizi tetapi belum membuat pengumuman rasmi sama ada akan bertanding jawatan naib presiden atau mana-mana jawatan lain.

Mengulas lanjut Chang berkata, "Saya melihat Rafizi dan DSAI mempunyai watak dan kekuatan yang berbeza jadi mereka akan saling melengkapi. Itu akan menjadikannya lebih sesuai untuk jawatan itu."

"Tetapi meskipun begitu, Saifuddin juga mempunyai banyak kekuatan jadi adalah baik untuk semua orang bersama dalam kepimpinan yang sama," tambahnya.

Pemilihan PKR akan berlangsung pada 13-18 Mei, manakala pencalonan ditetapkan pada 9 April.

PKR merupakan satu-satunya parti di negara ini yang mengamalkan sistem satu orang satu undi dalam memilih enam jawatan tertinggi parti itu.

[Baca berita asal]