Ponteng puasa: Jika ditahan mungkin akan dimandi seperti jenazah - KM Melaka
Peniaga yang diberi kebenaran memulakan operasi perniagaan pada 2 petang sepanjang Ramadan ini, diberi amaran agar tidak bersubahat dengan individu ponteng puasa atau geng 'plastik hitam’.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata seharusnya peniaga tersebut menggunakan peluang tersebut, untuk berniaga dengan amanah malah menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memantau individu yang ponteng puasa.
“Kita sudah berikan kebenaran berniaga, jadi hormatlah bulan yang mulia ini. Kedua-dua pihak jangan ambil kesempatan.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang ponteng puasa dan juga peniaga yang bersubahat.
“Jika ditahan, mungkin kali ini kita akan mandikan mereka seperti jenazah,” katanya pada pemberita selepas merasmikan pembukaan Premis Perniagaan Ar Rahnu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah di Alor Gajah hari ini.
Katanya pemantauan berterusan akan dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), dengan penguatkuasan undang-undang yang tegas di restoran atau peniaga makanan yang membenarkan orang Islam makan dalam premis mereka.
Dalam pada itu Sulaiman turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan tidak menaikkan harga jualan, walaupun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah di pasaran.
“Juallah pada harga berpatutan. Cuba rendahkan kadar harga dan sudah pasti ramai yang akan beli,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai