Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA tolak muafakat dimonopoli orang politik pernah gagal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MCA sentiasa bersikap terbuka dengan sebarang permuafakatan dan menggalakkannya, namun menolak jika ia berlaku di sekitar individu tertentu saja.

Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, partinya juga tidak dapat menerima jika kerjasama berkenaan dibuat oleh individu yang gagal selepas diberi peluang.

"Kita (MCA) menggalakkan lebih banyak permuafakatan, tetapi permuafakatan itu sepatutnya tidak dimonopoli oleh individu, lebih-lebih lagi individu yang sudah diberi peluang dan gagal.

"Fokus kita tidak seharusnya ditumpukan kepada personaliti politik semata.

"Hentikanlah daripada menjadikan personaliti tertentu dalam politik ini sebagai fokus utama. Sudah sampai masa kita bergerak ke hadapan dan menumpukan kepada landasan politik yang jitu dan memberi manfaat kepada negara dan rakyat," katanya di Kuantan hari ini.

Senator itu bercakap kepada media selepas merasmikan suatu program anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Kuantan, hari ini.

Terdahulu Ti ditanya mengenai perjumpaan membabitkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan berlaku kira-kira dua minggu lalu.

Tak memanfaatkan rakyat

Menurut Mahathir, Muhyiddin bertemu dengannya untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan dia kembali menjadi perdana menteri.

Untuk rekod, semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, MCA adalah antara parti yang memberikan sokongan kepada ahli parlimen Pagoh tersebut.

Kata Ti sebarang perjumpaan membabitkan mana-mana pemimpin parti sepatutnya bebas daripada tokoh-tokoh lama kerana senario politik di Malaysia dilihat masih berkisar kepada pengaruh personaliti tertentu saja.

Sambil berpendapat budaya politik itu sudah tidak relevan dengan situasi semasa, timbalan menteri belia dan sukan itu berkata isu personaliti politik dan personaliti konflik sudah terlalu lama membelenggu politik negara.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Ti menegaskan, rakyat Malaysia perlu membebaskan pemikiran mereka daripada 'jerat politik' yang menggunakan personaliti tertentu untuk memperoleh sokongan.

"Kita perlu membebaskan diri daripada jeratan politik konflik-konflik peribadi. Sejak dulu, zaman saya jadi pemimpin mahasiswa, dah tengok dah politik personaliti ini.

"Ia tidak memberi manfaat kepada rakyat, apa yang kita mahu (sekarang) ialah memberi aspirasi supaya wujudnya suasana politik yang berpaksikan kepentingan rakyat dan negara.

"Kita sudah terlalu lama berkisar dengan kitaran politik personaliti dan konflik personaliti tokoh-tokoh lama dalam parti, cukuplah," katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian MCA terhadap PAS pula, Ti memaklumkan mereka sentiasa menerima baik semua parti yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.

"Selama ini MCA menerima semua orang, cuma kita ada landasan kita, landasan kita nilai perjuangan, kita kena akur dengan undang-undang dan perlembagaan.

"MCA tidak pernah menidakkan mana-mana parti kalau perjuangan mereka berlandaskan perlembagaan dan nilai-nilai murni dan demi rakyat serta negara.

"Landasan MCA selama ini adalah kesederhaan dan berlandaskan perlembagaan, kita tidak lari dari landasan itu walaupun kita mewakili komuniti masyarakat (Cina), kita tidak memperjuangkan untuk mengagungkan masyarakat Cina.

"MCA cuma menjadi suara kepada masyarakat komuniti untuk menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia," katanya.