Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Klang pertimbang saman k'jaan isu banjir - MP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penduduk Klang di Selangor mempertimbangak untuk saman kerajaan kerana didakwa cuai dalam penguruskan bencana ketika kejadian pada banjir Disember lalu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendakwa, pada awal kejadian banjir, pegawai kerajaan tidak ditemui di mana-mana, menyebabkan orang ramai tiada pilihan selain membantu sesama sendiri.

“Negara mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga hak serta kepentingan rakyatnya. Bagaimanapun, semasa banjir, hampir tidak ada sistem amaran awal atau usaha bantuan banjir yang cekap untuk membantu individu dan masyarakat yang terdedah.

"Malah, pegawai kerajaan hilang dalam tiga hingga empat hari pertama, dan orang ramai mengambil tanggungjawab untuk mengatur pengagihan makanan dan misi menyelamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia antara perkara yang dibincangkan dalam seminar perubahan iklim bertajuk "Kesan perubahan iklim terhadap kawasan pantai seperti Klang" anjuran pejabat ahli parlimen Klang, semalam.

Charles menambah peserta juga membangkitkan keperluan sistem saliran dan pengairan baru di Klang dengan melebarkan dan mendalamkan sungai bagi menampung pergerakan air melalui sungai secara berperingkat.

"Dengan cara ini, perancang mengelak membangunkan saliran khusus untuk kawasan perumahan setempat, tetapi membenarkan pergerakan air antara beberapa kawasan sebelum ia mengalir ke sungai," tambah Charles.

Sementara itu antara perakara yang menarik daripada seminar tersebut ialah pasukan bantuan bencana bagi menggantikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut Charles, usaha bantuan dan pemulihan banjir negara adalah di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara nombor 20 yang hanya menggunakan lapan undang-undang dan peraturan semasa berlakunya bencana.

Katanya, pasukan bantuan bencana yang dicadangkan memerlukan aspek perundangan yang komprehensif untuk menyatukan pelbagai undang-undang dan peraturan, termasuk dasar dan program bagi mengurangkan risiko berkaitan banjir.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan pasukan bantuan bencana, yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan tentera udara yang boleh dikerahkan apabila berhadapan dengan bencana.

“Kos untuk menyediakan pasukan ini tidak tinggi kerana ia datang daripada pasukan keselamatan dan pertahanan sedia ada.

“Usaha seperti ini akan membantu memudahkan penempatan tentera dalam masa yang singkat dan menggerakkan peralatan untuk tujuan bantuan,” katanya.

Tambanya lagi, beberapa kawasan di Klang telah mengalami banjir kira-kira lima kali dalam tempoh enam bulan lepas, selain kejadian tanah runtuh juga kerap berlaku di seluruh negara juga.

Justeru dia meminta kerajaan bertindak segera sebelum satu lagi bencana banjir melanda.