'Elak pertembungan PRU15 lebih mustahak dari serang sekutu PH'
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mempersoalkan tindakan pemimpin Warisan yang dilihat mencabar parti Pakatan Harapan (PH) dan meningkatkan ketegangan antara sekutu.
Chan berkata demikian dalam respons terhadap pemimpin Warisan yang mempersoalkan keperluan untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Kenapa Warisan perlu berkonfrontasi terhadap DAP dan PH?
“Menerima bekas wakil rakyat DAP hingga bertanding menentang DAP dalam pilihan raya negeri Johor, ia memecahbelahkan pembangkang dan menguntungkan BN.
“Lebih teruk lagi, Warisan gagal mengekalkan deposit pada pilihan raya Johor selepas enam calonnya (kalah) menyumbang RM30,000 kepada perbendaharaan negara.
“Saya ingin melihat idea yang lebih konstruktif untuk mengukuhkan sokongan pembangkang dengan memperjuangkan isu-isu rakyat, seperti kenaikan harga, peluang pekerjaan, reformasi institusi, ketidakseimbangan dalam pembangunan wilayah, dan lain-lain.
“Mengelak pertembungan pelbagai penjuru antara satu sama lain dalam PRU15 adalah perkara yang lebih mendesak untuk dilakukan berbanding menyerang DAP dan PH,” kata Chan.
Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman sebelum ini menuduh DAP Sabah menipu rakyat selepas pengerusinya Frankie Poon Ming Fung mendakwa MOU itu membolehkan pembentangan undang-undang antilompat parti.
Azis juga seterusnya mendakwa DAP dan PH telah menandatangani MOU untuk mendapat peruntukan.
“Ini adalah tuduhan liar dan tidak berasas terhadap DAP/PH. MOU itu pada dasarnya adalah untuk memastikan kestabilan politik di Malaysia dan tidak pernah dirahsiakan. Ia boleh didapati di laman web Parlimen Malaysia.
“Sebab kewujudan MOU itu adalah untuk mengelakkan ketidakstabilan politik berterusan dengan mengadakan persefahaman dwipartisan sambil menangguhkan pembubaran parlimen sehingga situasi pandemik Covid-19 menjadi lebih baik dan pilihan raya umum boleh diadakan tanpa membahayakan kesihatan rakyat Malaysia.
“Ia tidak seperti bagaimana digambarkan Warisan - hanya untuk peruntukan dan dana. Peruntukan kawasan pilihan raya bukan untuk kegunaan peribadi ahli parlimen PH. Ia kembali kepada rakyat. Penerima E-kasih, komuniti B40, sekolah, masjid, kuil adalah antara penerima manfaat. Mengapa kita perlu menafikan hak pengundi pembangkang?” soal Chan.
Dia juga menjawab dakwaan bahawa pemimpin kanan DAP Lim Guan Eng telah ke Sabah untuk bertemu sendiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor untuk rundingan rahsia.
“Pada tahun lepas selepas MOU peringkat persekutuan ditandatangani, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng telah dijemput untuk bertemu Hajiji dan Lim bersetuju dengan mesyuarat itu atas dasar ihsan.
“Pada 14 Okt 2021, sebelum bertemu Hajiji, Lim telah membuat kunjungan hormat kepada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal untuk memaklumkan dan memberi taklimat kepada Shafie tentang pertemuan yang akan diadakan dengan Hajiji.
“Selepas pertemuan dengan Hajiji, Lim sekali lagi pada 18 Okt 2021, bertemu dengan Shafie dan memaklumkan kepadanya apa yang berlaku semasa pertemuan dengan Hajiji. Setiap butiran dikongsi dengan Shafie,” kata Chan.
Chan berkata antara terma MOU ialah undang-undang antilompat parti perlu digubal, dan jika tidak kerana MOU itu, kerajaan tidak akan meletakkan rang undang-undang antilompat parti dalam agenda kerajaan malah dibawa ke kabinet.
Ketegangan antara Warisan dan DAP memuncak sejak kebelakangan ini, dengan antara lain yang dipertikaikan adalah MOU antara PH dan kerajaan.
Minggu lalu, DAP Sabah membidas Warisan kerana menerima dua bekas wakil rakyatnya dan memberi amaran bahawa Warisan tidak boleh dipercayai kerana ia menerima pengkhianat dan menyantuni Umno secara terbuka.
Ini berlaku selepas Adun Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin dan Adun Elopura Calvin Chong meletak jawatan daripada DAP pada Januari untuk menyertai Warisan.
Pada Januari, tiga bekas wakil DAP dari semenanjung turut menyertai parti berpusat di Sabah itu.
Adun Teratai Bryan Lai Wai Chong, yang keluar daripada DAP di tengah-tengah dakwaan perselingkuhan tahun lalu, menyertai Warisan bersama bekas Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Danny Law Heng Kiang.
Keadaan bertambah buruk selepas Shafie berkata dia sanggup bekerjasama dengan BN dan gabungan kerajaan Sabah pada PRU15.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai