Skip to main
Logo Malaysiakini

Howard Lee kecam MCA kerana 'agungkan parti pelampau'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adun Pasir Pinji Howard Lee mengecam kenyataan Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker yang mengatakan MCA boleh bekerjasama dengan PAS selagi parti Islam itu menghormati perlembagaan.

Howard menyifatkan kenyataan Ti itu sebagai usaha "mengagungkan sebuah parti pelampau".

"Mengagungkan parti ekstremis, tunduk kepada agenda mereka, dan memberi mereka kuasa dan keutamaan dengan mengorbankan kredibiliti parti sendiri; boleh disimpulkan bahawa daya tarikan dan ketagihan jawatan menteri terlalu memabukkan bagi MCA berbanding keutamaan kepada negara," Lee berkata.

Ahli parlimen DAP itu mendakwa PAS adalah ancaman kepada fabrik negara dan akan menghapuskan Perlembagaan Persekutuan jika mempunyai peluang.

“PAS tidak pernah lari daripada memperjuangkan isu-isu yang menjadi ancaman besar kepada fabrik berbilang budaya, etnik, dan agama di negara kita yang indah iaitu Malaysia.

"Tidak pernah dipersoalkan apakah kewujudan PAS sebagai parti politik adalah mengikut perlembagaan, tetapi tidak syak lagi PAS akan menghapuskan perlembagaan apabila ia diberi kuasa," kata ahli parlimen DAP itu.

Lee menambah MCA terlibat dalam Langkah Sheraton, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020 dan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Kenyataan timbalan menteri itu kini menunjukkan bahawa MCA bersedia untuk bergantung kepada PAS selagi mereka masih berkuasa.

“Maknanya, MCA akan memberikan kuasa kepada PAS selagi parti itu mempertahankan kuasa mereka.

"Adalah ironis, walaupun tidak menghairankan, MCA menyokong dan menyucikan PAS sedangkan Umno - tuan mereka dalam BN - menjauhkan diri mereka daripada PAS," katanya.