Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tutup mulut, tutup telinga, awak okay'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP l Tiap-tiap hari dunia dapat membaca laporan berkenaan perbicaraan kes 1MDB yang diadakan di Amerika Syarikat.

Dalam perbicaraan ini ramai nama tokoh-tokoh di Malaysia yang terlibat dengan jenayah mencuri duit 1MDB dilapor. Kesalahan yang dilakukan oleh mereka disebut. Di antara orang yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan menipu 1MDB ialah bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.

Semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor parti Najib disokong sehingga menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam satu rakaman video Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub ditolak ke belakang oleh Presiden Umno, Ahand Zahid Hamidi. Dia kemudiannya menarik Najib ke depan di tempat perdana menteri. Dari peristiwa ini adalah jelas Najib lebih dihormati oleh Umno daripada perdana menteri yang juga adalah naib presiden Umno.

Apakah jenis kerajaan yang didirikan oleh Ismail Sabri jikalau dia boleh dihina di hadapan dunia.

Ramai ahli Umno hendak supaya PRU15 diadakan segera. Apakah Ismail Sabri akan jadi perdana menteri jika Umno menang. Tentu tidak.

Yang akan jadi perdana menteri tentulah penyokong kuat Najib. Bagi kerajaan yang akan didirikan, yang utama ialah membebaskan Najib dari hukuman 12 tahun penjara yang dikenakan.

Contoh sudah ada. Anak tiri Najib terlepas dari penjara kerana bagi balik separuh dari duit yang dicuri.

Najib boleh bagi balik banyak mana yang dikehendaki oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Dia akan diampun.

Setelah mencuri berbillion ringgit, Najib yang telah didapati salah, mungkin tidak dipenjara barang sehari pun.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas dia didapati bersalah menyelewengkan RM42 juta dana SRC. Kes ini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

Ini keadilan di Malaysia. Curi seekor ayam masuk penjara serta merta. Oleh itu curi berbillion. Didapati salah oleh mahkamah. Bagi balik setengah billion. Bebas.

Belum jadi. Tetapi boleh jadi. Saya agak-agak sahaja.

Ya. Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini satu tekanan yang menakutkan.

Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tulisan ini diambil dari Facebooknya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.