'MDPT dah batal larangan tak boleh jual makanan sebelum 3 petang'
Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) telah membatalkan larangan operasi perniagaan sebelum pukul 3 petang di semua premis makanan di daerah itu sepanjang bulan Ramadan.
Exco Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi mengesahkan pihak berkuasa tempatan itu telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 31 Mac, berhubung pembatalan notis larangan tersebut yang dikeluarkan pada 22 Mac.
Kenyataan MDPT dikeluarkan beberapa hari sebelum bermulanya Ramadan.
“Notis larangan operasi premis makanan sebelum jam 3 petang sepanjang Ramadan 1443H, bertarikh 22 Mac dan dikeluarkan Majlis Daerah Perak Tengah, telah dibatalkan.
“Oleh itu, semua premis makanan dibenarkan beroperasi seperti biasa tertakluk pada arahan dari masa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Pada awal hari ini, tular di Twitter berhubung aduan larangan tersebut yang didakwa tidak adil terhadap orang bukan Islam dan mereka yang tidak dapat berpuasa, bersama dengan salinan notis larangan yang telah dibatalkan itu.
Ditanya mengenai premis makanan yang enggan melayan pelanggan sebelum jam 3 petang, Nolee berkata mungkin mereka tidak menyedari mengenai notis terbaru berkenaan.
Nolee juga berkata setiap pihak berkuasa tempatan dibenarkan mempunyai peraturan sendiri seperti yang dipersetujui oleh ahli majlis.
“Waktu yang dibenarkan untuk dine-in mungkin berbeza antara daerah," kata Adun Tualang Sekah itu kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai notis asal yang dikeluarkan kepada pengusaha premis makanan.
Menurut notis asal yang ditandatangani Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah, Mohd Syukri Azaari, kedai makan yang didapati beroperasi sebelum 3 petang akan dikategorikan sebagai melakukan kesalahan di bawah undang-undang kecil daerah berkenaan, yang boleh didenda sebanyak RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan denda maksimum sebanyak RM200 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.
Dalam satu kenyataan, Mohd Syukri berkata notis yang telah tular itu dikeluarkan setiap tahun kepada pemilik premis makanan Islam menjelang bulan Ramadan.
Dia juga menjelaskan bahawa notis tersebut tidak ditujukan kepada pemilik premis makanan bukan Islam.
Namun, memandangkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan warganet dan orang ramai berhubung notis berkenaan, majlis daerah itu telah mengeluarkan notis pembatalan yang berkuatkuasa sejak 31 Mac.
Bagaimanapun, menurutnya semua pemilik premis makanan dan pelanggan dinasihatkan untuk menghormati sensitiviti mereka yang berpuasa di bulan Ramadan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai