Bicara kes Roger Ng: Penggulungan hujah akan bermula
Penggulungan hujah dalam kes perbicaraan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dituduh membantu merompak ratusan juta dolar daripada dana syarikat 1MDB akan bermula hari ini (Isnin, 4 April waktu AS) di mahkamah New York, Amerika Syarikat.
Pendakwa raya AS berkata Roger Ng, bekas pegawai bank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, membantu bosnya ketika itu Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan pengubahan wang haram terhadap hasil penyelewengan itu dan merasuah pegawai supaya mendapat peluang perniagaan untuk Goldman.
Ng, 49, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat untuk pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Peguamnya Marc Agnifilo, mengakui Ng memperkenalkan Leissner kepada Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low - ahli perniagaan Malaysia yang dituduh menjadi dalang skim itu.
Pun begitu, kata peguam itu Ng tidak mempunyai peranan dalam merompak dana 1MDB.
Pertuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal penyelewengan terbesar dalam sejarah kewangan.
Pendakwa raya AS berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi AS$4.5 bilion daripada dana itu dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.
Ng ialah orang pertama - dan mungkin satu-satunya - yang menghadapi perbicaraan di Amerika Syarikat berhubung skim penyelewengan itu.
Leissner, 52, mengaku bersalah atas pertuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya. Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengatur supaya cawangan perniagaannya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.
Semasa perbicaraan hampir dua bulan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, juri mendengar keterangan lebih dua puluh saksi.
Leissner (gambar, bawah) saksi utama kerajaan, memberi keterangan pada Februari bahawa dia menghantar kepada Ng AS$35 juta dalam bentuk sogokan hasil skim itu.
Peguam Ng berkata kedua-dua lelaki itu bersetuju untuk memberitahu bank yang memproses pemindahan dana itu sebagai "cerita menutup kisah sebenar" bahawa wang tersebut daripada usaha perniagaan yang sah antara isteri kedua-dua lelaki berkenaan.
Isteri Ng, Hwee Bin Lim, memberi keterangan minggu lalu bahawa dia melabur AS$6 juta pada pertengahan 2000-an dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner ketika itu, Judy Chan.
Kata Hwee, wang AS$35 juta yang disifatkan pendakwaan sebagai sogokan Ng sebenarnya pulangan kepadanya terhadap pelaburan tersebut.
Low, yang didakwa pada 2018 bersama Ng, masih bebas meski dalam buruan. Pihak berkuasa Malaysia berkata Low berada di China, tetapi dinafikan Beijing.
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai