Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya cuti sakit' - MP Miri jelaskan rekod kehadiran buruk di parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Miri dari PKR, Michael Teo Yu Keng yang merekodkan kehadiran paling rendah di parlimen menjelaskan dia mengambil cuti sakit sejak tahun lepas akibat masalah kesihatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Teo berkata dia jatuh sakit sebanyak tiga kali sejak Julai tahun lalu termasuk dimasukkan ke hospital selama sepuluh hari pada penghujung Julai tahun yang sama dan mengalami alahan ubat.

Sehingga kini katanya, dia masih menjalani rawatan dan belum pulih sepenuhnya.

“Saya jatuh sakit tiga kali dan kini dalam rawatan bagi penyakit tiroid. Saya telah menutup klinik saya selama berbulan-bulan (kerana sakit).

“Saya telah menjalani rawatan untuk sekian lama,” kata Teo ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan semakan ke atas rekod kedatangan di Dewan Rakyat mendapti ada ahli parlimen yang mungkin bersikap culas.

Teo mencatatkan kehadiran paling rendah dalam kalangan 220 ahli parlimen, iaitu hanya hadir selama 13 hari daripada 71 hari parlimen bersidang.

Ketika ditanya sama ada dia akan memohon maaf atau menjelaskan kepada pengundi berhubung prestasi buruk di parlimen, ahli parlimen itu tidak melihat keperluan berbuat demikian.

"Saya sudah menunjukkan laporan perubatan saya dan menyerahkannya kepada parlimen, maka ia sudah cukup baik," kata Teo.

Teo berkata dia kini beransur pulih dan mahu mempertahankan parlimen Miri pada pilihan raya umum akan datang.

"Ya, saya akan (pertahankan kawasan pilihan raya saya)," katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi ahli parlimen yang mencatatkan kehadiran tidak sampai satu pertiga daripada jumlah 71 hari sidang parlimen untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Sementara itu, akhbar Sinchew Sabtu lalu melaporkan bahawa pembantu Teo, David Hii mengemukakan beberapa dokumen perubatan dan salinan e-mel kepada parlimen, untuk membuktikan bahawa Teo diberi cuti sakit semasa sidang parlimen.

Dia berkata Teo dimasukkan ke hospital dari 27 Julai hingga 3 Ogos tahun lalu dan Teo diberi cuti sakit selama 21 hari oleh doktor.

Dia juga memaklumkan bahawa Teo telah mengambil cuti sakit selama seminggu lagi pada September tahun lalu dan tidak dapat menghadiri parlimen pada bulan Oktober kerana dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Rekod buruk MP PKR

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Tawau, Thien Ee Hang melahirkan kebimbangan terhadap rekod kehadiran yang rendah di parlimen melibatkan anggota parlimen Tawau dari PKR, Christina Liew.

Dalam satu kenyataan, dia menggesa Liew bekerja lebih keras untuk mempertahankan kerusinya pada PRU15.

“Seperti yang ditunjukkan oleh MyMP, Liew hanya menghadiri 24 hari daripada 71 hari persidangan Parlimen. Ini membimbangkan kerana ia akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan Harapan pada PRU15 akan datang.

“Sejak Liew dipilih pada 2018, jarang melihatnya di Tawau secara peribadi. Ini juga telah mencetuskan kekecewaan penduduk tempatan di Tawau terhadap prestasinya.

."Saya dengan hormatnya ingin mengingatkan pengerusi PKR Sabah akan tugas dan mandat yang diberikan kepadanya oleh penduduk tempatan Tawau pada 2018.

"Kita mesti fokus dan menggandakan usaha kita dalam berkhidmat untuk rakyat untuk mempertahankan semua kerusi PH yang dimenangi pada 2018," kata Thien.