Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtera: 'Pertikaian syarikat di mahkamah tiada kaitan dengan KKM'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pertikaian undang-undang antara dua syarikat berhubung MySejahtera tiada kaitan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan itu menegaskan bagi pihak KKM, kerajaan memiliki semua data yang disimpan dalam pangkalan data MySejahtera, modul dan juga jenamanya.

"Inilah sebab bila saya dipanggil Dewan Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), saya pergi. Saya nak beri keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tiada apa yang nak disembunyikan.

"Bagi saya aplikasi ini penting. Kita guna untuk Covid-19, vaksinasi, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya. Terimalah yang kita masih menggunakan sistem MySejahtera.

“Anda mungkin ada kebimbangan berkenaan penjelasan saya. Apa yang saya jelaskan di Dewan Negara dan PAC adalah keadaan yang sebenar. Data adalah milik KKM, data itu selamat dan ia berpangkalan di pelayan di Malaysia dan dimiliki KKM,” katanya ketika sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak hari ini.

Khairy menjawab soalan berkenaan pertikaian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara P2 Asset Management Sdn Bhd dan tiga pihak lain (Entomo Malaysia Sdn Bhd, Revolusi Asia Sdn Bhd dan MYSJ Sdn Bhd berkataian perjanjian penjualan saham.

Entomo sebelum ini dikenali sebagai KPIsoft Malaysia Sdn Bhd dan bertanggungjawab menggunakan perisiannnya untuk membangunkan MySejahtera.

Menurut laporan Bernama, P2 Asset Management memfailkan saman terhadap Entomo, Revolusi Asia and MYSJ berkaitan 10 peratus pegangan saham dalam Revolusi Asia, yang memegang hak milik penuh MYSJ.