Skip to main
Logo Malaysiakini

Protes VC di konvokesyen: Bekas presiden Umany diperintah bela diri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas pengerusi Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke membela diri berhubung protesnya terhadap bekas naib canselor UM Abdul Rahim Hashim.

Keputusan itu dibacakan majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali selepas mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wong.

Sepanjang perbicaraan peringkat pendakwaan, 13 saksi telah tampil memberikan keterangan, termasuk Rahim.

Susulan keputusan itu, peguam bela Tan Wei Shin memberitahu mahkamah bahawa Wong akan memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi bagi peringkat pembelaan.

Tertuduh mempunyai tiga pilihan sebagai respons terhadap perintah membela diri: memberi keterangan bersumpah daripada kandang saksi; memberi kenyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh; dan berdiam diri.

Mahkamah menetapkan 17 Mei untuk pihak pembelaan menyerahkan senarai saksi mereka dan 4 hingga 7 Julai perbicaraan bagi peringkat pembelaan.

Wong didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dengan niat untuk mencetuskan ketegangan.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Wong didakwa mencetuskan ketegangan semasa konvokesyen UM pada 14 Okt 2019 dengan membantah Rahim, naib canselor universiti ketika itu, atas dakwaan kenyataan berbaur perkauman.

Apabila menerima skrol tamat pengajiannya di atas pentas, Wong yang ketika itu pelajar kejuruteraan menjerit “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia".

Antara alasan yang disebut Wong dalam bantahannya ialah Rahim didakwa mempromosikan perkauman dan kebencian, melanggar kebebasan akademik, bertindak sebagai "boneka politik" dan gagal menyelesaikan masalah kewangan UM.

Dia kemudian mendakwa sebahagian daripada bantahannya adalah juga terhadap ucapan "bernada perkauman" Rahim semasa Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt 2019.

Dalam ucapannya, Rahim dikatakan mendakwa pertukaran kerajaan selepas PRU14 telah menghapuskan penguasaan politik Melayu dan menegaskan keistimewaan Melayu sedang dicabar.

[Baca berita asal]