Skip to main
Logo Malaysiakini

ALR Bhd ini syarikat apa?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PANDUANKINI l Semalam, kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya utama Lembah Klang tetap kekal kerana penstrukturan semula konsesi lebuh raya.

Dalam penstrukturan semula ini, firma swasta Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR Bhd) menawarkan untuk membeli konsesi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint Highway), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart).

Walaupun desas-desus pengambilalihan empat lebuh raya utama Lembah Klang sudah dijangka, perincian perjanjian tersebut masih samar-samar.

Berikut adalah apa yang sudah diketahui setakat ini tentang pengambilalihan lebuh raya terbabit dan syarikat yang bertanggungjawab ke atasnya.

‘Bukan berlandaskan keuntungan’

Dalam pengumuman Gamuda, ALR Bhd menyatakan firmanya ‘bukan berlandaskan keuntungan’, tetapi bertindak atas mandat kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya berkenaan dan mengembalikannya semula kepada kerajaan.

Syarikat ALR Bhd ditubuhkan pada Disember 2021 dan diwujudkan dengan tujuan utama untuk mengawal selia syarikat yang memegang konsesi lebuh raya.

Perlu dimaklumkan juga apa yang dimaksudkan dengan “entiti tidak berkeuntungan” itu bererti pemilik tidak akan menerima dividen.

Walaupun begitu, lembaga pengarah dan pengurusan masih dibayar bawah perbelanjaan kos operasi.

Siapa pemilik ALR Bhd?

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ALR Bhd adalah entiti swasta sepenuhnya. Kerajaan tidak mempunyai sebarang saham dalam firma tersebut.

Firma itu merupakan hak milik bersama kumpulan individu berikut yang setiap seorang mempunyai 1,000 saham dan adalah sebahagian dari lembaga pengarah.

- Idrose Mohamed

Nama yang tidak asing lagi dalam dunia korporat, Idrose mengetuai syarikat berprofil tinggi seperti PLlus Malaysia Berhad, Pos Malaysia Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd

- Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi

Bekas ketua eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang telah memegang berbagai jawatan tinggi dalam syarikat teknologi, dan kini pengarah Pos Malaysia serta Digital Nasional Bhd, sebuah firma yang bertanggungjawab atas pembangunan infrastruktur 5G di seluruh negara.

- Nirmala Menon

Selain pernah menjadi ketua eksekutif di firma insurans ING Malaysia Bhd, Nirmala juga merupakan ahli lembaga Khazanah Nasional Bhd dan kini pengarah Bank Negara Malaysia, Sime Darby Bhd dan Aviva Singlife Singapore.

- Soam Heng Choon

Ketua eksekutif di IJM Corporation Bhd dan kini presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda)

- Azlan Mohd Zainol

Pengerusi ahli lembaga ALR Bhd, Azlan seorang tokoh industri perbankan negara dan pernah berkhidmat di RHB Bank Bhd selama 16 tahun. Dia juga bekas ketua eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kini pengerusi Eco World International Bhd.

Jadi bagaimana pengambilalihan ini dibuat?

ALR Bhd dalam laman sesawangnya menyebut syarikat itu akan mengambil alih empat konsesi, dengan menggabungkan kesemuanya di bawah satu konsesi dan tadbir urus lebuh raya pada kadar tol yang sedia ada.

Semua wang yang diperoleh akan disalurkan ke kos pengoperasian dan pelunasan hutang ALR Bhd yang dibuat untuk mendanai kos pengambilalihan.

Setelah hutang dibayar secara penuh, ALR Bhd akan memulangkan lebuh raya terbabit kepada kerajaan.

Berapa ALR Bhd bayar dan pembiayaan macam mana?

Firma itu menawarkan untuk membeli Kesas pada harga RM1.24 bilion, Sprint pada harga RM1.808 bilion manakala Smart pada RM313 juta dan Litrak serta LDP pada harga RM2.119 bilion. Kesemuanya berjumlah RM5.48 bilion.

Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui sukuk, iaitu satu bentuk bon Islam, kata ALR Bhd di laman webnya.

Katanya lagi, dalam bahasa mudahnya, jika lebih banyak kenderaan menggunakan lebuh raya, lebih cepat hutang itu ditebus dan lebih cepat ia boleh memindahkan konsesi kepada kerajaan.

Ini bermakna kemungkinan besar tempoh konsesi akan dilanjutkan.

Berikut adalah tempoh tamat konsesi bagi setiap empat lebuh raya yang terbabit:

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Fadhillah Yusof berkata konsesi Smart mungkin dipendekkan tetapi dia tidak memberikan butiran lanjut.

Dia juga berkata kerajaan tidak menjamin pembiayaan ALR.

Apa beza dengan pemegang konsesi sekarang?

Berdasarkan aturan sekarang, semakan semula kadar tol bagi syarikat konsesi lebuh raya akan diadakan setiap lima hingga tujuh tahun dan ia bergantung kepada perjanjian konsesi.

Oleh itu, bagi mengelak kenaikan bayaran tol, kerajaan terpaksa membayar pampasan sebagai ganti rugi setiap tahun.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pemindahan semua konsesi lebuh raya ke ALR Bhd di bawah pengaturan baru ini, kerajaan dapat menjimatkan RM4.3 bilion pampasan, yang akan dibayar mulai 1 Jan tahun ini sehingga tamat perjanjian konsesi.

Apa beza pula dengan cadangan PH ambil alih 4 lebuh raya sama?

Menteri Kerja Raya Fadhillah Yusoff berkata rancangan sebelum ini adalah untuk kerajaan mengambil alih lebuh raya itu sendiri, tetapi ini memerlukan dana pembayar cukai sebanyak RM6 bilion.

Pada tahun 2019 dilaporkan bahawa, antara cadangan pengambilalihan melibatkan kerajaan membiayainya secara langsung melalui penjualan bon.

Tetapi dengan pengambilalihan baru ini, menteri itu berkata kerajaan tidak membayar satu sen pun.

Bagaimana kerajaan pilih ALR?

Pengumuman kerajaan atau laman web ALR tidak menyatakan cara pemilihan itu dilakukan.

Malaysiakini telah menghubungi ALR dan Fadhillah untuk ditemu bual bagi mendapatkan butiran lanjut

Banyak lagikah ambil alih lebuh raya guna cara ini?

Berkemungkinan ya, kerana:

"Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, yang mana syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya, ini satu kelegaan kepada rakyat," kata Fadhillah seperti dipetik laporan Bernama.