Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu tersepit, lori rempuh kontena jatuh dari jambatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaannya merempuh kontena yang terjatuh dari jejambat di Pelabuhan Klang tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kejadian yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari itu berlaku ketika mangsa memandu lorinya yang membawa sarung tangan getah di Jalan Pelabuhan Klang.

"Dilaporkan sebuah kontena telah terjatuh dari atas jambatan dan telah menghalang laluan di bawah.

"Sebuah lori kontena lain, telah terlanggar kontena tersebut dan mengakibatkan pemandu lori tersepit di bahagian pemandu," kata jurucakap bomba itu.

Dia memberitahu pemberita pihaknya telah menghantar enam anggota penyelamat dari Balai Bomba Kota Raja ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 1.17 tengah hari.

Sepasukan anggota Balai Bomba Pelabuhan Klang turut bertindak balas terhadap kejadian itu dan berjaya menyelamatkan pemandu lori berusia 49 tahun itu yang kemudiannya dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan.