Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan Rafizi buat Bersatu: Teruslah dendangkan senandung 'Melayu lemah'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata Bersatu cuba memainkan sentimen kononnya orang Melayu sekarang adalah neofeudal, berpuak-puak serta memerlukan pelindung.

Parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu, katanya, terus membingkaikan orang Melayu sebagai kaum lemah dan sikap itu hampir sama dengan pandangan Umno sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Bagaimanapun, Rafizi yakin pendekatan diambil Bersatu itu tidak akan menguntungkan parti terbabit sebaliknya akan menjadi senjata memakan tuan.

"Sangat merugikan Bersatu jika mereka menganggap orang Melayu adalah golongan neofeudal dan berpuak-puak," katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa bahawa orang Melayu menolak Pakatan Harapan (PH) kerana sifat demokrasi liberal yang melampau pada gabungan tersebut.

Untuk rekod Bersatu sendiri sebelum ini menjadi salah satu parti komponen PH sebelum mereka - dengan kerjasama Umno-BN dan PAS - menjatuhkan gabungan terbabit di luar pilihan raya.

“Orang Melayu perlukan pelindung. Mereka mempunyai mentaliti neofeudal dan belum bersedia untuk menerima demokrasi liberal sepenuhnya.

"Pada akhirnya sifat masyarakat yang berpehang kepada mentaliti berpuak akan berterusan,” dakwan Wan Ahmad Fayhsal.

Wan Ahmad Fayhsal

Bagaimana pun Rafizi idak bersetuju dengan dakwaan tersebut. Bahkan katanya keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini menggambarkan pengundi Melayu sanggup menukar sokongan untuk melihat parti persaingan politik.

“Pengundi yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di Johor bukan membuat keputusan tersebut kerana melihat Bersatu sebagai pelindung yang lebih baik tetapi sebagai protes kepada PH kerana mereka tidak berpuas hati dengan prestasi atau naratif yang dibawa gabungan tersebut.

"Hakikat yang mereka tidak kembali kepada Umno mengesahkan bahawa mereka (pengundi Melayu) bukan feudal atau berpuak," tambah Rafizi.

Tetap rasa gembira

Dia yang akan bersaing untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden PKR turut memberi amaran kepada PH bahawa jika mereka gagal memainkan naratif dengan betul, ia hanya akan menguntungkan Bersatu dan PN.

Katanya pengundi Melayu sekarang jauh lebih sofistikated.

Mereka, tambah Rafizi, menolak Umno yang membawa rekod terbabit dengan rasuah dan sanggup memberikan undi kepada Bersatu-PN sebagai tanda protes kepada PH.

"Maka PH mesti mengusahakan naratifnya untuk meyakinkan pengundi bahawa ia mempunyai penyelesaian dan kecekapan menyelesaikan isu ekonomi yang dihadapi rakyat," katanya.

Dalam keadaan begitu, menurut Rafizi, jika pengundi Melayu boleh bertukar angin dengan menyokong Bersatu dan PN (selepas mengundi PH pada 2018), mereka juga boleh dengan mudah kembali kepada PH.

Katanya ia akan berlaku apabila pengundi terbabit yakin PH boleh menjadi kerajaan yang lebih baik.

Pada masa sama, Rafizi berkata, dia akan berasa sangat gembira sekiranya Bersatu terus percaya bahawa orang Melayu adalah neofeudal.

“Ini kerana majoriti pengundi Melayu atas pagar memang tidak suka diperkecilkan. Teruskanlah begitu dan Bersatu akan melihat undinya mengecil,” tambahnya.