Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim gesa M'sia, Indonesia duduk semeja martabatkan bahasa Melayu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia dan Indonesia perlu mencari kesepakatan dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama Asean, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata adalah penting untuk negara serumpun bersatu bagi memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan khazanah serantau.

Katanya dalam persuratan Indonesia sebelum merdeka, bahasa yang digunakan adalah "bahasa Melajoe" iaitu bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda.

"Abim menegaskan bahawa usul dan usaha Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua Asean perlu disambut baik dengan mencari kesepakatan yang untuk sama-sama menempatkan lingua ini pada peranan yang strategik.

"Ini sejajar dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban kosmopolitan yang memimpin dinamika rantau Asia Tenggara.

"...Justeru, Abim menegaskan isu bahasa Melayu seharusnya menjadi medan yang menyatukan warga alam Melayu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, dilaporkan menolak cadangan Ismail Sabri yang mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua Asean.

Menurut laporan Kompas, Nadiem berkata dia memaklumkan perkara itu kepada Ismail Sabri ketika kunjungan perdana menteri Malaysia ke Indonesia baru-baru ini.

“Saya sebagai menteri pendidikan dan kebudayaan tentu menolak usulan tersebut. Namun kerana ada keinginan negara sahabat kita mengajukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Asean, tentu keinginan tersebut perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut," kata Nadiem.

Mengulas lanjut Muhammad Faisal memetik keputusan kelapan Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, pada Nov 1954 yang mengatakan bahawa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu dan dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat ketika ini.

"Sebagai jalan tengah untuk mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, antaranya, ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah yang boleh menyatu seperti 'Bahasa Melayu – Nusantara'.

"Di sini pentingnya untuk kita bersama-sama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu yang merupakan khazanah kosmopolitan rantau Nusantara," katanya.