Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM siasat dakwaan isu penjualan tanah lapangan terbang di Perak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar di Perak.

Pengarah SPRM negeri Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi Asmuni Awi semalam.

“Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya di Ipoh bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Semalam, empat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

Khamis lepas, Menteri Besar Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, Adun Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata pihaknya tidak bercadang untuk membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa berhubung isu itu, kerana sudah ada yang terlebih dahulu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya.

"Pada peringkat ini semua orang hendak mengambil bahagian (membuat laporan kepada pihak berkuasa) sebab (pihak yang membuat laporan) hendak mendapat perhatian. Saya tidak akan menari (mengikut) gendang orang.

“Apa yang penting ialah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selepas melancarkan Program Belia Perak Bertadarus dan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

- Bernama