'Jangan lekas beri pandangan politik isu bahasa Indonesia, bahasa Melayu'
Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim berhak untuk menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, kata Rais Yatim.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata Malaysia berpegang kepada persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Indonesia Joko Widodo berhubung perkara itu.
Menurut Rais, kedua-dua pihak itu bersetuju untuk bersama-sama memperkasakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun.
"Saya telah meneliti pandangan yang berhormat menteri terbabit dan dia berhak mengeluarkan apa jua pandangan berhubung bahasa Indonesia.
"Namun, kita berpegang teguh kepada apa-apa persetujuan yang dicapai antara perdana menteri kita dengan presiden Indonesia baru-baru ini," katanya kepada Malaysiakini.
Rais mengulas kenyataan Nadiem yang berkata dia menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, namun tidak menolak agar perkara itu terus dikaji dan dibahaskan.
Menurut laporan Kompas, Nadiem membangkitkan bahasa Indonesia lebih layak dengan mengambil kira faktor sejarah dan linguistik, serta merupakan bahasa terbesar di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut, Rais berkata sehingga kini tiada sebarang penafian dibuat dari pihak Jokowi berhubung cadangan Ismail.
"Namun, mana-mana pihak di Indonesia boleh mengeluarkan apa-apa pandangan dan kita maklum bahasa Indonesia lebih meluas digunakan kerana di Nusantara ini, bahasa Indonesia digunakan secara rasmi dan tidak rasmi," katanya.
Takrifan bahasa
Rais turut membangkitkan apa yang dimaksudkan sebagai bahasa Indonesia dan juga bahasa Melayu dengan berkata "dalam bahasa Indonesia terkandung bahasa Melayu".
Justeru, katanya, ia perlu dilihat daripada dua sudut - iaitu faktor sosiobudaya dan geopolitik berdasarkan sempadan negara.
"Pertamanya sudut sosiobudaya. Bahasa Melayu semenjak dahulu lagi telah menjadi lingua franca (bahasa penghantar) bagi penduduk Asia Tenggara dan diterima pakai sebagai alat perhubungan, alat pendidikan dan alat dalam perdagangan," katanya.
Katanya, dalam soal ini, cerdik pandai dari kedua-dua negara perlu bersama-sama mengangkat bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di kawasan apa yang dinamakan sebagai Nusantara dan Alam Melayu.
"Ini bererti mana-mana pihak tidak lekas mengeluarkan pendapat politik dan kita lebih berasaskan kepada sosiobudaya yang lebih mantap untuk jangka panjang.
"Sebelum kemerdekaan iaitu 1945 bagi Indonesia dan 1957 bagi Semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa rasmi semua pihak," katanya lagi.
Persamaan bahasa
Pada masa sama, kata Rais, bahasa itu sudah dipengaruhi aspek kedudukan dan kuasa politik serta geopolitik.
"Tentulah bahasa Indonesia dalam republik Indonesia dan bahasa Melayu di alam Melayu.
"Tetapi saya fikir ia tak harus jadi batu penghalang untuk menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama atau kedua di Asean," katanya yang pernah menjadi menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.
Katanya lagi, bahasa Indonesia - yang sememangnya mempunyai penutur lebih ramai berbanding bahasa lain - adalah berasas daripada bahasa Melayu.
"Jadi, bahasa Indonesia bileh dianggap sebagai terbitan jika dilihat dari segi geopolitik tetapi bahasa Melayu adalah jika dilihat dari sosiobudaya. Ini orang tak buat dikotomi (pembahagian).
"Oleh itu, kita jangan begitu cepat buat keputusan dan saya yakin menteri pendidikan Indonesia adalah seorang cendekiawan yang boleh menerima dikotomi ini.
"Sementara bahasa Melayu jangan diketepikan peranannya, kita juga mengiktiraf bahawa bahaa Indonesia sebahagian besarnya adalah bahasa Melayu," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai