Skip to main
Logo Malaysiakini

Touch ’n Go: Kadar faedah kami setanding pinjaman peribadi lain

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan Touch 'n Go berkata kadar faedah antara lapan hingga 36 peratus bagi program pinjaman peribadi inklusif GOPinjam yang baru dilancarkan adalah setanding dengan produk pinjaman peribadi lain.

"Kadar faedah untuk pinjaman peribadi digital itu adalah dalam kadar lapan peratus sehingga 36 peratus maksimum. Kami menjangkakan kadar purata di kalangan peminjam kami setanding dengan produk pinjaman peribadi lain.

"Kadar faedah itu bergantung pada profil kredit peminjam, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman. Dari segi yuran, tidak seperti kebanyakannya, kami tidak akan mengenakan sebarang yuran duti setem atau yuran pemprosesan," kata Kumpulan Touch 'n Go dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Ia menjangkakan jumlah kelulusan pinjaman adalah sederhana bagi memastikan pinjaman itu mampu ditanggung oleh pengguna.

Dilancarkan pada 1 April, perkhidmatan pinjaman mikro itu dibangunkan bersama CIMB Bank Berhad dan dibiayai di bawah produk pinjaman peribadi bank, e-Zi Tunai, iaitu menawarkan kadar faedah tetap yang sama.

GOPinjam menawarkan pinjaman peribadi dari serendah RM100 hingga maksimum RM10,000. Tempoh pembayaran semula yang fleksibel untuk pinjaman itu merupakan antara satu minggu hingga satu tahun, tanpa sebarang bayaran tersembunyi bagi caj penyelesaian awal.

Untuk terus menggalakkan penggunaan GOPinjam kepada orang ramai, pendapatan bulanan bakal peminjam hanya perlu minimum sebanyak RM800 untuk memohon pinjaman tersebut.

Semakan ke atas pinjaman sedia ada di bank tempatan mendapati bahawa mereka memberikan kadar faedah atau kadar keuntungan bermula antara lima peratus dan lapan peratus bergantung pada tempoh dan jumlah pinjaman. Malah, sesetengah bank mengehadkan kadar faedah maksimum pada 15 peratus.

Bekas perdana menteri yang juga bekas menteri kewangan Najib Razak mempersoalkan faedah tetap GOPinjam yang mengenakan sehingga 36 peratus kepada peminjam.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyuarakan kebimbangannya bahawa perkhidmatan pinjaman mikro untuk 16 juta pengguna berdaftar Touch 'n Go itu mempunyai kekurangan perlindungan kepada penggunanya.

Manakala Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata perkhidmatan pinjaman mikro itu menggalakkan budaya bergantung kepada hutang di kalangan Rakyat Malaysia.

Seorang warganet berkata dia boleh memperolehi jumlah pinjaman sebanyak RM3,600 dengan gaji bulanan RM1,200 dalam masa kurang satu minit melalui ciri GOPinjam.

Bagaimanapun, Touch 'n Go berkata proses permohonan akan mengambil masa satu hari bekerja selepas menghantar dokumen lengkap.

"Pengguna berulang akan turut menikmati kelulusan pada hari yang sama. Kami telah mencipta supaya prosesnya menjadi mesra pengguna dan berharap ia supaya terus bertambah baik, di samping mendapatkan maklum balas daripada pengguna.

"Kami akan memastikan semua pemohon ditapis dengan teliti untuk kelayakan kredit mereka kerana kami juga mengambil kira gaji sebenar mereka, sebagai sebahagian daripada kriteria penilaian," kata Touch n’ Go.

“Memandangkan kami membuat produk ini supaya boleh diakses oleh orang ramai, maka kami menitikberatkan dalam memastikan mereka yang memohon pinjaman ini mampu membayarnya semula,” katanya.

Menurutnya lagi, produk tersebut telah mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia - yang mempunyai ciri-ciri perlindungan kepada pengguna.

[Baca berita asal]