Skip to main
Logo Malaysiakini

Penstrukturan semula tol: BN usahakan sejak 2002, PH buat dalam 2 tahun - Khalid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas kenyataan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof bahawa kerajaan BN telah mengusahakan penstrukturan semula tol untuk empat lebuh raya di Lembah Klang sejak 2002.

Sambil mempersoalkan kecekapan kerajaan BN yang mengambil masa begitu lama untuk mengeluarkan inisiatif tersebut sedangkan kerajaan Pakatan Harapan berjaya memuktamadkannya dalam tempoh kurang dua tahun lalu pada 2019.

“Saya terkejut dengan kenytaannya itu. Berapa tahun yang diperlukan kerajaan BN untuk memuktamadkan cadangan tersebut?

“Kami ambil masa kurang dua tahun. Dan menteri itu tanpa malu mengakui bahawa mereka telah mengusahakannya selama 16 tahun, dan semuanya dilalukan dalam bilik persembunyian rahsia, kerana tiada siapa yang tahu mengenainya.

“Inilah tahap kecekapan yang boleh kita diharapkan daripada kerajaan BN,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah semalam berkata penstrukturan semula tol berkenaan yang akan menyaksikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bukanlah dasar kerajaan PH.

Dia menegaskan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak 2002 oleh kerajaan BN yang menetapkan Kementerian Kerja Raya bersama agensi berkaitan untuk berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama.

Empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat atau Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damasara - Puchong atau LDP).

Majlis presiden PH sebelum ini berkata penstrukturan semula tol itu adalah kesinambungan dasar yang dimulakan oleh gabungan itu semasa ia menerajui kerajaan pusat.

Khalid mengingatkan bahawa cadangan PH adalah untuk membeli lebih empat lebuh raya tol berkenaan dan memberikan diskaun 30 peratus kepada semua pengguna pada waktu luar puncak manakala pengguna akan dikenakan kadar biasa pada waktu puncak.

Dia mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa rancangan PH adalah untuk mengutip bayaran tol "selama-lamanya".

“Mana lelaki tidak tahu malu itu dapat idea kita akan kutip tol selama-lamanya.

“Cukupla, saya kata, tempoh konsesi tol tidak disebut dalam cadangan kerana tidak akan ada perubahan. Kutipan tol, walaupun dengan diskaun, akan berakhir apabila konsesi tamat,” kata Khalid.

Khalid juga berkata, cadangan PH adalah supaya kerajaan memiliki lebuh raya berkenaan dan mengumpul dana untuk pembeliannya melalui penjualan bon yang seterusnya akan dibayar melalui kutipan tol.

Bagaimanapun, katanya, inisiatif semasa akan menyaksikan kerajaan "menyerahkan tol kepada “entiti swasta yang bukan berdasarkan keuntungan” yang tidak dikenali tetapi disebut sebagai Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR)" dengan kerajaan tidak akan membayar apa-apa.

Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya

ALR akan membayar Gamuda Bhd untuk kepentingan di lebuh raya berkenaan dan Khalid berkata mereka mungkin juga akan mengumpul dana melalui bon dan membayarnya melalui kutipan tol.

“Perbezaannya, sudah tentu, diskaun untuk rakyat dan hakikat bahawa ALR adalah entiti swasta.

"Frasa 'bukan berdasarkan keuntungan ' itu boleh mengelirukan kerana perbelanjaan dan kos operasi boleh dibesar-besarkan dan meningkat untuk menghasilkan keuntungan bersih sifar.

“Lagipun, apa yang akan menghalang ALR daripada menganugerahkan projek besar dan lumayan kepada syarikat kroninya untuk pekerjaan yang dijalankan?” soalnya.

Menurutnya pada akhir tempoh konsesi, lebuh raya tersebut masih akan diserahkan kepada kerajaan.

Justeru, Khalid berkata adalah lebih baik kerajaan mengambil alih lebuh raya itu sekarang sementara tol masih dikutip bagi memastikan infrastruktur itu terus diselenggara dengan baik dan tiada sebarang kejutan selepas tempoh konsesi.

[Baca berita penuh]