ULASAN | Beza nama bukan penghalang, martabatkan bahasa Nusantara
ULASAN | Saya merujuk kepada kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Budaya, Riset dan Teknologi (Mendikbudristek) Tuan Nadiem Anwar Makarim berkenaan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Asean [1].
Walaupun secara zahirnya Nadiem kelihatan menolak cadangan ini, beliau meletakkan dua keutamaan yang saya fikirkan positif iaitu:
(i) Bahawa beliau percaya Bahasa Indonesia lebih cocok untuk dijadikan bahasa rasmi Asean berbanding bahasa Melayu.
(ii) Perkara ini “perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut di tataran regional”.
Takrif bahasa Melayu
Saya percaya bahawa isu ini dibangkitkan sebegitu kerana takrif berbeza yang digunakan oleh sekurang-kurangnya dua negara, Malaysia dan Indonesia.
(i) Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928 mengiltizamkan suatu bahasa untuk seluruh bangsa Indonesia.
(ii) Pasal 36 Undang-undang Dasar Republik Indonesia menetapkan Bahasa Negara ialah Bahasa Indonesia.
(iii) Status dan fungsi Bahasa Indonesia ditetapkan oleh Undang-undang Republik Indonesia Nomor 24 Tahun 2009 tentang Bendera, Bahasa, dan Lambang Negara, serta Lagu Kebangsaan.
Manakala Malaysia menetapkan bahawa:
(i) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.
(ii) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan skop penggunaan bahasa kebangsaan atau Bahasa Malaysia.
Lahir dari induk yang sama
Walaupun begitu, sama ada dari segi sejarah ataupun sudut praktikal, kedua-dua bahasa boleh saling difahami (mutually intelligible).
Hal ini kerana ia berkongsi suatu induk yang sama iaitu ‘bahasa persuratan’, iaitu terbitan daripada bahasa Melayu kuno yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan lama di pesisir Selat Melaka dan ditulis dalam pelbagai sistem aksara, terutamanya Kawi dan Rencong. Bahasa ini dapat dikesan penggunaannya hatta sehingga ke kepulauan Filipina hari ini.
Kebangkitan Kesultanan Melaka dan Kesultanan Pahang-Johor-Riau-Lingga sebagai kuasa besar dan pusat perdagangan, yang juga berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam, telah mengukuhkan lagi peranan bahasa ini di nusantara. Ketika inilah jugalah banyak pinjaman daripada bahasa Arab, Farsi, Urdu, Belanda dan Inggeris berlaku.
Kesarjanaan dalam agama Islam oleh tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri juga menambah kepada kekayaan ini, sehingga tulisan Jawi yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Farsi akhirnya menggantikan sistem penulisan lain.
Berkat kesarjanaan para pendeta seperti Raja Ali Haji dan penyebaran teknologi percetakan, di sebalik penjajahan nusantara oleh kuasa-kuasa Eropah, bahasa Melayu kekal menjadi bahasa yang difahami dan dipertutur umum di seluruh rantau ini atau lingua franca sehingga abad ke-20 [2]. Namun begitu, kesan kolonial telah menjadikan tulisan Rumi menjadi sistem penulisan yang dominan.
Kemerdekaan Indonesia dan Malaysia
Apa yang jelas ialah para sarjana setuju bahawa bahasa Melayu Johor-Riau-Lingga sebagai terbitan bahasa persuratan adalah asas kepada bahasa Indonesia dan bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Hal ini ditegaskan oleh Presiden Soekarno yang cenderung memilih bahasa Melayu yang lebih egalitarian sebagai asas bahasa Indonesia, dan bukannya bahasa Jawa yang mempunyai banyak tingkatan, maka dianggap lebih feudal [3].
Hal ini seterusnya menjadi ketetapan Sumpah Pemuda pada tahun 1928.
Pasca kemerdekaan kedua-dua negara, bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia menjadi wujud sebagai bahasa yang plurisentrik kerana pemerintah kedua-dua negara menetapkan keutamaan yang berlainan bagi kedua-dua bahasa ini.
Perkembangan semasa
Hari ini, pemerintah di setiap negara mempunyai badan kawal selia tersendiri iaitu Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa (Indonesia), Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Majlis Bahasa Melayu Singapura. Namun begitu, pemantauan dan koordinasi perkembangan bahasa di rantau ini tetap diteruskan oleh sebuah badan supranasional iaitu Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia.
Di samping itu, seperti yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kembali mendapat perhatian di beberapa kawasan seperti selatan Thailand. Untuk tujuan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan di Patani pada 12 Oktober 2013 [4].
Awal tahun itu juga, Menteri Pendidikan Filipina menyuarakan kemungkinan untuk memperkenalkan Bahasa Indonesia sebagai bahasa ketiga di sekolah-sekolah [5]. Hal ini bagi membolehkan warga Filipina mengambil peluang daripada perkembangan pesat ekonomi negara-negara Asean seperti Malaysia dan Indonesia.
Dalam dunia akademik
Secara linguistik, bahasa Indonesia sememangnya dianggap sebagai terbitan atau cikal kepada bahasa persuratan atau bahasa Melayu klasik, yang mana mereka tergolong dalam keluarga Malayo-Polynesia. Maka pengajiannya di luar nusantara tidaklah banyak berbeda daripada pengajian Melayu itu sendiri.
Hari ini, walaupun bahasa Indonesia diajar sebagai bahasa antarabangsa di negara-negara seperti Australia, ia turut diajar sebagai bahasa Melayu untuk subjek peperiksaan oleh badan-badan seperti Cambridge International dan International Baccalaureate.
Di samping itu, ia diajar sebagai sebahagian daripada pengajian ‘alam Melayu’ di institusi-institusi pendidikan antarabangsa. Di Eropah, ia berkait rapat dengan kajian sejarah dan kontemporari Asia Tenggara terutama terhadap manuskrip yang dikumpulkan daripada seluruh alam Melayu atau nusantara.
Manakala di China, bahasa Melayu terus mendapat perhatian sehingga kerajaan Malaysia meletakkan Kursi Pengajian Melayu ketiga di Universiti Pengajian Asing Beijing pada tahun 2005, iaitu selepas di Universiti Leiden, Belanda dan Universiti Victoria, New Zealand.
Masa depan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia
Jika kita kaji Pedoman Umum Bahasa Indonesia (PUEBI) dan Tatabahasa Dewan, perbezaan antara kedua-duanya amatlah minimum. Dari segi kosa kata pula, memang banyak peralihan semantik yang wujud daripada kosa kata tradisi, yang kemudiannya ditambah pula dengan kaedah peminjaman istilah dan neologisme yang agak berlainan.
Sedangkan bahasa Indonesia lebih banyak mengekalkan istilah Sanskrit dan pinjaman daripada bahasa Belanda dan bahasa-bahasa sukuan di sana, bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei lebih banyak meminjam daripada bahasa Arab, Inggeris dan bahasa-bahasa sukuan masing-masing.
Akan tetapi, penutur bahasa di negara-negara ini masih saling memahami antara satu sama lain, terutama jika bahasa baku digunakan.
Ini jauh bezanya dengan bahasa kolokial atau bahasa vernakular yang digunakan sehari-hari. Bahasa Melayu dialek Kuala Lumpur lebih dominan di Semenanjung Malaysia, sedangkan bahasa Melayu varian Brunei dan Sabah lebih dominan di Borneo. Manakala varian bahasa Indonesia yang dominan di Jakarta ternyata sukar difahami oleh penutur bahasa Melayu di tempat-tempat lain. Ini harus diraikan namun dipisahkan daripada perbincangan tentang bahasa rasmi.
Secara keseluruhannya, walaupun dipisahkan oleh sempadan dan sistem politik beberapa negara, bahasa-bahasa yang terus berkembang ini tetaplah pada asasnya adalah terbitan bahasa persuratan, namun wujud sebagai bahasa plurisentrik. Ini tidak berbeza dengan bahasa Perancis, Jerman dan Arab yang dikongsi antara beberapa kuasa besar rantau dan dunia.
Oleh itu, dalam membicarakan masa hadapan dan wawasan untuk bahasa yang dikongsi bersama ini, adalah wajar untuk kita membincangkannya dalam suatu suasana persaudaraan dan kasih sayang sebagai bangsa serumpun dan bukannya dengan perseteruan dan syak wasangka.
Menjadi bahasa rasmi Asean
Oleh itu, bolehlah kita simpulkan bahawa dalam menetapkan bahasa pengantar di peringkat Asean, bahasa yang dipilih hendaklah merupakan bahasa yang dikongsi bersama secara sejarah, budaya dan penggunaan kontemporarinya oleh negara-negara anggota.
Bahasa yang dikongsi bersama ini ialah bahasa Melayu iaitu terbitan daripada bahasa persuratan yang menjadi asas kepada bahasa-bahasa kebangsaan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Ini jugalah bahasa yang menjadi lingua franca di nusantara sejak ratusan tahun.
Namun begitu, saya akan terus berusaha memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dominan di peringkat Asean dan saya fikir ini tidak menjadi masalah. Seperti yang saya tegaskan di atas juga, bahasa Indonesia yang baku tidak jauh beza dengan bahasa-bahasa kebangsaan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia masih bahasa Melayu yang digunakan untuk tujuan rasmi dan persuratan, dan bukannya bahasa kolokial yang memang berbeza dari satu daerah ke daerah lain.
Kendatipun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Asean, ia tetap adalah kemenangan dan pengiktirafan buat bahasa Indonesia sebagai bahasa nusantara. Ini juga sesuai dengan status Indonesia sebagai salah satu daripada 20 kuasa ekonomi dunia (G20) [7].
Proses pengiktirafan
Seperti yang disebutkan oleh Tuan Nadiem Makarim, usul ini perlu dibincangkan secara lanjut antara kepala-kepala negara yang terbabit iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.
Namun perlu ditegaskan, sekiranya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Asean kelak, ia akan membawa kepada pengiktirafan bahasa, budaya dan peradaban nusantara atau alam Melayu, yang akan menjadi batu loncatan untuk mengangkatnya di peringkat global jua.
Senarai Rujukan
[1] KOMPAS “Alasan Nadiem Tolak Melayu Jadi Bahasa Resmi ASEAN: Bahasa Indonesia Terbesar di Asia Tenggara” https://nasional.kompas.com/read/2022/04/05/16473561/alasan-nadiem-tolak-melayu-jadi-bahasa-resmi-asean-bahasa-indonesia-terbesa
[2] KEMENDIKBUD - “Perkembangan Bahasa Melayu” https://kebudayaan.kemdikbud.go.id/bpnbkepri/perkembangan-bahasa-melayu/
[3] TEMPO - “Bahasa Jawa Jangan Jadi Bahasa Nasional” https://nasional.tempo.co/read/438174/soekarno-bahasa-jawa-jangan-jadi-bahasa-nasional
[4] “Kesegaran Bahasa Melayu Di Selatan Thailand” https://www.astroawani.com/perspektif/kesegaran-bahasa-melayu-di-selatan-thai-24358
[5] “Bahasa in schools? DepEd eyes 2nd foreign language” https://www.philstar.com/headlines/2013/03/22/922576/bahasa-schools-deped-eyes-2nd-foreign-language
[6] Radio Antarabangsa Cina - “Memperkasa Pengajian Bahasa Melayu di China” http://malay.cri.cn/781/2012/12/24/101s136979.htm
[7] The Diplomat - “Language Policy and Education in Southeast Asia” https://thediplomat.com/2021/12/language-policy-and-education-in-southeast-asia/
WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL adalah timbalan menteri perpaduan negara. Pendapat ini diutarakan atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak lain.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai