Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ada orang iri kaitkan PAS dengan Taliban' - Khairil Nizam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“PAS tidak memerlukan isu Taliban untuk meningkatkan imej Islamik PAS seperti yang dimainkan oleh pihak yang iri dengan perjuangan Islam PAS,” kata Ketua Penerangannya Khairil Nizam Khirudin.

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan lanjut pihak iri yang dimaksudkannya itu.

Menurut Khairil sokongan terbuka PAS terhadap Taliban kerana kumpulan itu merupakan kerajaan yang memerintah di Afghanistan.

"Kerajaan Taliban perlukan sokongan untuk membangunkan semula Afghanistan selepas berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan.

"Tetapi PAS tidak akan sama sekali menyokong apa sahaja keganasan yang berlaku di Afghanistan.

"Keganasan bukanlah cerminan kerajaan Islam yang PAS perjuangkan," katanya pada satu kenyataan semalam.

Khairil (gambar, bawah) mewajarkan sokongan PAS terhadap Taliban, berkata ia selari dengan dasar luar Malaysia, sebuah negara yang lazimnya dikenali jururunding keamanan bagi negara Islam dan wilayah yang dilanda konflik.

Jelasnya, pentadbiran PAS di Kedah, Terengganu dan Kelantan menjadi bukti parti itu menjunjung kesejahteraan rakyat.

"Hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam juga terpelihara.

"Imej Islamik pada pentadbiran PAS di negeri-negeri tersebut tidak menjadi penghalang pembangunan dan peningkatan pelaburan luar.

"Ini jelas membuktikan PAS tidak memerlukan retorik sokongan politik sesetengah kumpulan untuk meningkatkan imej PAS," katanya.

Khairil juga menyeru semua umat Islam untuk menyokong dan menegakkan Islam di Afghanistan tanpa menggunakan keganasan.