Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes cabul: Benarkah tak cukup CCTV di pusat beli belah Cyberjaya?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis telah menahan seorang penghantar makanan berusia 20 tahun pada Rabu lalu berhubung dakwaan dua kes serangan seksual di pusat perniagaan Tamarind Square, Cyberjaya, yang berlaku sehari sebelumnya.

Ini bukan kejadian pertama kali berlaku di tempat letak kereta yang sama.

Empat bulan lalu, seorang wanita lain juga dicabul di kawasan yang sama, dipercayai pelaku merupakan individu yang sama.

Selepas insiden pertama itu, terdapat gesaan supaya pihak pengurusan pusat beli belah itu untuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit dan meningkatkan keselamatan di situ.

Meskipun pihak pengurusan menyatakan CCTV telah dipasang dengan lebih banyak untuk mengesan suspek, tetapi tinjauan Malaysiakini mendapati keadaan sebaliknya.

Ini memandangkan Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan kepada media melalui Whatsapp bahawa CCTV di kawasan tersebut tidak merekodkan dakwaan kelakuan gangguan seksual itu.

Sebaliknya, suspek hanya dapat dilihat melalui rakaman dari kawasan berlainan di pusat perniagaan itu dan dikesan berdasarkan gambaran yang diberikan oleh mangsa dalam laporan polis yang dibuat mereka.

Malaysiakini mendapati di Blok A Tingkat 1 tempat letak kereta bawah tanah Tamarind Square - tempat kejadian, hanya mempunyai satu CCTV.

Malahan, pusat perniagaan yang senang untuk dimasuki kerana tanpa berpagar dan percuma itu tidak mempunyai CCTV yang menghala di kawasan tempat letak kereta bawah tanah dan di beberapa pintu masuk menghala ke situ.

Malaysiakini juga mendapati bahawa CCTV hanya diletakkan di pintu masuk berhampiran eskalator di ketiga-tiga tingkat di tempat letak kereta bawah tanah tidak meliputi keseluruhan kawasan tersebut, dengan banyak kawasan yang tidak dapat diawasi kamera.

CCTV tersebut juga diletakkan di dalam kawasan pintu masuk bangunan itu dan tidak menghadap kepada tempat letak kereta.

Ketika tinjauan dilakukan pada Rabu, pejabat pengurusan tempat letak kereta tersebut dilihat tidak beroperasi dan pejabat pengurusan Tamarind Square yang terletak bersebelahannnya juga tutup untuk waktu rehat.

Pada masa sama, tiada pengawal keselamatan didapati meronda kawasan tempat letak kereta itu ketika tinjauan dilakukan, tetapi pekerja di situ mengesahkan bahawa terdapat pengawal keselamatan yang akan meronda di tempat letak kereta bawah tanah itu dalam tempoh selang beberapa jam.

Malaysiakini juga mendapati tiada butang kecemasan di kawasan tempat letak kereta terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menggesa pihak berkuasa memastikan peningkatan langkah keselamatan di kawasan itu.

“Sekiranya benar isu ini melibatkan kekurangan pengawal keselamatan, saya harap Tamarind Square dapat mengambil tindakan segera dan sewajarnya untuk menangani masalah tersebut.

“Mengambil kira SK Cyberjaya 1 terletak berhampiran dengan lokasi, saya berharap agar pihak berwajib meningkatkan tahap keselamatan di kawasan dan sekitarnya.

“Saya percaya Majlis Perbandaran Sepang yang beribu pejabat di Cyberjaya dan ahli majlisnya sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hanipa berkata dia telah mengatur pertemuan dengan pengurusan Tamarind Square dan polis Cyberjaya untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Tamarind Square menafikan dakwaan pihaknya tidak berbuat apa-apa mengenai kes serangan seksual, berkata polis menasihatkan pihak pengurusan untuk membuat laporan terhadap seorang pengguna Twitter kerana menyebarkan berita palsu menuduhnya tidak menangani perkara itu.

“Di Tamarind Square, kami telah bekerja keras untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua pelanggan kami. Liputan CCTV telah dipertingkatkan dan diperluaskan, terutamanya di tempat letak kereta dan kawasan yang tiada liputan pengawasan kamera sebelum ini.

“Lebih ramai pengawal keselamatan telah dikerahkan mengikut keperluan untuk sentiasa membuat rondaan di sekitar premis kami. Pemasangan butang kecemasan di lokasi strategik sebagai langkah keselamatan tambahan sedang dijalankan.

"Dan kami memberi jaminan bahawa kami akan bekerja lebih keras untuk meningkatkan keselamatan di sekitar premis kami,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan Rabu lalu.

[Baca berita penuh]