Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: Saingan sengit rebut FDI, M'sia perlu kembang industri besar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) sebagai enjin pertumbuhan ekonominya, , kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, katanya perniagaan tempatan perlu berkembang menjadi industri besar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam artikel bertajuk "Dasar Ekonomi Baru" hari ini, Mahathir berkata Malaysia antara negara pertama yang baru merdeka dengan program FDI yang berjaya pada satu ketika.

Pun begitu, Dr Mahathir berkata negara kini menghadapi persaingan sengit dari negara lain yang menawarkan insentif buruh dan cukai yang lebih murah.

Dia menyarankan Malaysia mengambil teladan Jepun, Korea Selatan dan China dalam menggantikan barangan import dengan barangan tempatan yang akhirnya mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Katanya, kerajaan di negara berkenaan menyokong langkah itu dengan menyediakan pembiayaan, kepakaran dan tanah.

"Pembuatan merupakan bidang yang paling penting sekali. Cukup mustahak untuk mengetahui bagaimana sesuatu produk itu dibuat. (Teknologi) automasi dan robotik telah diperoleh dan dipasang di barisan pengeluaran tempatan.

"Industri tempatan dengan pantas (di negara tersebut) mampu mengeluarkan produk canggih secara besar-besaran untuk pasaran dunia," katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu memberi contoh industri pembuatan sarung tangan tempatan, dengan Malaysia kini mendominasi pengeluaran sarung tangan getah global.

Katanya, satu industri yang berpotensi ialah industri minyak sawit dengan nilai tambah.

Tambahnya, pada masa ini, Malaysia mengeksport minyak sawit mentah dan bukannya produk siap.

Mahathir berkata Malaysia juga perlu menguasai sektor elektronik, mengambil maklum setakat ini negara mempunyai pengeluar semikonduktor global, Silterra Malaysia Sdn Bhd.

"Perkara yang paling penting untuk berkembang besar," katanya.

"Jika kita masuk ke dalam industri besar dan menguasai pasaran, kebanyakan pulangan akan bertambah kepada Malaysia. Kita masih boleh menyediakan pelaburan langsung asing tetapi kita tidak akan bergantung kepada mereka untuk pertumbuhan industri dan ekonomi kita," tambahnya.