Skip to main
Logo Malaysiakini

Lau nafi PN tolak RUU antilompat parti, cuma mahu penambahbaikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gerakan menafikan Perikatan Nasional (PN) menolak rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang sedang diusahakan kerajaan sekarang.

Sebaliknya, kata presiden parti itu, Dominic Lau, PN mahu agar RUU tersebut dirangka dalam bentuk yang lebih komprehensif.

"Jangan salah faham dengan menyangka kami menolak akta tersebut. Tak ada sesiapa yang menolaknya.

"Kami semua bersetuju agar akta berkenaan perlu untuk kestabilan politik dan mengurangkan rasuah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan wujud cubaan menggagalkan RUU tersebut walaupun mengakui ada butiran mengenainya yang tidak dipersetujui sesetengah pihak.

Untuk rekod langkah mewujudkan akta antilompat parti adalah satu daripada persetujuan yang dicapai di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua pihak pada tahun lalu.

Ia digerakkan sebagai langkah mengelakkan suasana politik tidak stabil membabitkan tindakan sesetegah wakil rakyat yang melompat parti. Tindakan sedemikian misalnya menyebabkan kerajaan PH jatuh di luar pilihan raya pada akhir Feb 2020.

Untuk rekod, PN - yang dianggota antara lain Gerakan, PAS dan Bersatu - merupakan sebahagian daripada kerajaan sekarang.

Boleh dianggap tak adil

Umno - yang berjanji untuk menyokong akta tersebut - secara konsisten menganggap Bersatu adalah parti yang menerima ahli politik melompat dan mengkritiknya.

Sebahagian daripada ahli parlimen Bersatu memang merupakan tokoh yang memenangi kerusi masing-masing melalui tiket Umno-BN dalam PRU ke-14 pada 2018.

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata ada tiga kriteria utama yang menentukan sama ada seseorang itu dianggap melompat parti atau sebaliknya.

Pertama, katanya, wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar dari parti politik diwakilinya dengan menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, katanya, seseorang wakil rakyat yang memenangi sesebuah kerusi tetapi dipecat oleh parti dan ketiga, wakil rakyat bebas yang mengumumkan menyertai sebarang parti selepas kemenangannya.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kata Lau, ciri kedua dan ketiga yang dirangka itu tidak menyeluruh kerana ada keadaan seseorang wakil rakyat tidak bersetuju dengan kepemimpinan parti mereka atau dipecat selepas mendedahkan salah laku pemimpin mereka.

Kata ahli Dewan Negara itu, apa yang ditakrifkan sekarang boleh dianggap sebagai tidak adil.

"Akta itu mesti secara jelas menyatakan dalam keadaan apakah seseorang wakil rakyat yang dipecat partinya itu dianggap sebagai melompat," katanya.

Lau juga berkata Gerakan bimbang jika akta tersebut akan menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa kerana nama yang digunakan kerajaan.

"RUU itu dalam bahasa Melayu ialah Akta Lompat Parti, bermaksud (melompat) dari satu parti ke parti lain.

"Maka apabila seorang wakil rakyat bebas menyertai sesebuah parti, mengapa ia dianggap sebagai melompat? Mungkin jangan gunakan perkataan 'lompat parti' (tetapi) guna istilah lain dan ia mungkin lebih baik," katanya.

RUU berkenaan sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April ini tetap pada Rabu lalu Wan Junaidi berkata, draf mengenainya perlu dikaji semula bagi menjelaskan definisi melompat parti.

Bagaimanapun, sidang itu tetap akan diteruskan dengan kerajaan membentangkan draf pindaan perlembagaan bagi memudahkan pengenalan RUU terbabit.

Ditanya mengenai perkara itu, Lau kelihatan tidak tahu-menahu.

Katanya, dia tidak dimaklumkan mengenai perubahan berkenaan dan mendakwa ia akan "dilaksanakan seperti yang dirancang".

Selepas seorang wartawan menunjukkan kepadanya berita mengenai pelanjutan tersebut, Lau menjawab: "Berdasarkan apa yang kami terima dari Dewan Negara, (akta) dijadualkan pada 12 April (seperti yang dirancang), tetapi saya tidak tahu apa yang diubah."