Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukti DNA bantu polis tangkap suspek kes rogol 12 tahun lalu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis berjaya menyelesaikan satu kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang berlaku 12 tahun lalu di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, menerusi data asid deoksiribonukleik (DNA), polis berjaya mengenal pasti seorang lelaki dan menahan suspek di sebuah ladang kambing di Pulau Pinang semalam.

"Siasatan saintifik yang menggunakan data DNA telah berjaya mengenal pasti identiti suspek dalam kes ini.

"Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan suspek telah berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Abd Jalil, suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari bermula hari ini hingga 13 April bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehinggalah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.