Saranan belia jadi penarik beca disokong MAH Kelantan
Gesaan kerajaan Kelantan agar belia menceburi bidang menarik beca disambut baik oleh persatuan pengusaha hotel di negeri itu.
Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kelantan, mereka menyokong saranan kerajaan negeri dan menjangkakan beca boleh pupus jika tiada sebarang langkah diambil untuk mengekalkannya.
Justeru Setiausaha Kehormat MAH Kelantan Mohammad Azrin Zainal Abidin menyaranan agar belia di negeri berkenaan mula melibatkan diri dengan kerjaya menarik beca.
“Saya menyokong usaha kerajaan Kelantan yang berharap anak-anak muda terutamanya penganggur berjinak-jinak sebagai penarik beca.
“Selain mencari rezeki, apa yang lebih penting ialah mengekalkan kenderaan tradisi yang semakin berkurangan sekarang,” katanya seperti dipetik harakahdaily.
Menurut Azrin jika tiada usaha dilakukan oleh kerajaan, dipercayai beca yang juga kenderaan tradisional di Kelantan akan pupus dengan meninggalnya penarik beca yang ada sekarang.
Pada 5 Apr lalu Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, menyeru golongan belia termasuk penganggur di negeri itu menggunakan peluang bekerjaan yang ada termasuk menjadi penarik beca.
Katanya, usaha itu perlu digerakkan supaya perkhidmatan beca tidak pupus begitu sahaja di Kelantan.
Pada masa sama Md Anizam berkata kerajan negeri berusaha mencari pelapis penarik beca di Kelantan bagi menggantikan mereka yang uzur dan meninggal dunia.
Ketika ini katanya kebanyakan pengayuh beca yang ada sudah berusia 60 tahun ke atas.
"Anak-anak muda yang menganggur tidak perlu berasa janggal bekerja sebagai penarik beca kerana ia merupakan sumber rezeki yang halal, biarpun pendapatan tidak seberapa," katanya.
Azrin berkata dia pernah berjumpa dengan beberapa pengusaha beca untuk membawa pelancong mengeliling bandar Kota Bharu.
“MAH menyokong penuh hasrat kerajaan negeri mempertahankan beca tradisional sebagai produk pelancongan di Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK) mereka sedia memberikan kursus kepada penarik beca agar mereka boleh memberi penerangan semasa membawa pelancong.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai