Skip to main
Logo Malaysiakini

PH kesal soalan SPM calon ulangan sama macam calon lepas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menyatakan rasa kesal selepas mendapat maklumat bahawa soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi ulangan adalah soalan sama digunakan calon SPM sesi sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, JKPPH berkata, mereka merasa gusar akan kesiapsiagaan KPM dalam menguruskan proses pendidikan dan penilaian semasa pandemik.

"Keluhan meluas di kalangan ibu bapa pelajar perihal adilkah calon SPM sesi ulangan mendapat soalan yang sama dijawab oleh calon SPM sebelumnya sedangkan maklumat soalan-soalan tersebut telah pun tersebar kepada umum yang boleh mendatangkan kelebihan kepada calon SPM ulangan?

"Jika sebelum-sebelum ini, LPM (Lembaga Peperiksaan Malaysia) akan menyediakan soalan lain untuk digunakan jika berlaku perubahan secara ad-hoc kepada calon SPM yang tidak boleh mendudukinya seperti jadual biasa, mengapa kaedah yang sama tidak diguna pakai tahun ini?

"Beberapa nilai yang perlu diberikan perhatian oleh LPM dan KPM bagi mengelakkan situasi ini berlaku lagi, antaranya LPM harus bersedia menyediakan soalan yang mencukupi pelbagai edisi memandangkan situasi semasa menyebabkan ada calon yang perlu menduduki SPM sesi ulangan.

Pada masa sama, katanya, LPM dan KPM juga harus memberi jaminan kepada umum adakah soalan yang digunakan merupakan soalan yang sama pada sesi sebelumnya tidak bocor dan masih kekal sulit buat calon SPM ulangan.

"JKPPH menganggap KPM khususnya Menteri Kanan Pendidikan gagal mengambil perhatian secara serius proses pendidikan era pandemik ini yang pastinya mempengaruhi nasib anak-anak kelak,” tambahnya.

Antara calon SPM yang layak menduduki peperiksaan dari 1 April hingga 19 Mei termasuk mereka yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin, serta mereka yang terjejas akibat banjir atau kes khas lain.

Calon SPM pada asalnya dijadualkan menduduki peperiksaan dari 2 Feb hingga 29 Mac.