Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak betul kabinet bertelagah isu RUU antilompat parti - Saifuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan bahawa anggota kabinet bertelagah mengenai isu Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat parti dan pindaan perlembagaan persekutuan.

Katanya, setakat ini anggota kabinet bersetuju dan sepakat untuk menyokong RUU berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perlembagaan persekutuan mesti dipinda terlebih dahulu sebelum RUU itu digubal di parlimen.

Saifuddin yang juga Menteri Luar memaklumkan mesyuarat kabinet yang berlangsung Rabu lalu turut sebulat suara menyokong keputusan berkenaan.

“Ada laporan-laporan mengatakan ahli kabinet bertelagah, walaupun saya tidak boleh secara rasmi bercakap bagi pihak kabinet, tapi saya hadir dalam mesyuarat (kabinet) di mana isu ini dibincang.

“Tidak pernah timbul ahli Kabinet bertelagah soal pindaan perlembagaan dan keperluan mengadakan undang-undang berkaitan lompat parti ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Malaysia Cawangan Kuantan, di Kuantan, hari ini.

Menurut Saifuddin disebabkan terdapat keputusan mahkamah sebelum ini, perlembagaan persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum akta berkaitan digubal.

Dia merujuk kepada kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh pada 1992 di mana Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bertukar parti atau melompat parti tidak menyebabkan seseorang itu terlucut jawatan sebagai Adun.

Dalam pada itu Saifuddin turut berharap definisi melompat atau bertukar parti dijelaskan dengan teliti untuk mengelakkan berlaku ketidakadilan dan salah guna kuasa.

“Misalnya kalau kena pecat daripada parti, itu dikira melompat parti atau bertukar parti?

“Jadi, perkara ini kena jelas dan terang supaya tidak ada salah guna kuasa oleh parti kepada ahli mereka,” katanya.