Skip to main
Logo Malaysiakini

Kos haji naik 12 peratus: Bakal jemaah berbeza pendapat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lembaga Tabung Haji baru-baru ini menyatakan kos untuk mengurus jemaah Muassasah menunaikan haji pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 atau bersamaan 12 peratus.

Menurut TH, kenaikan kos itu susulan peningkatan kadar cukai dan caj perkhidmatan baru yang dikenakan Arab Saudi.

TH juga memaklumkan agensi itu akan terus memberikan subsidi bagi mengurangkan jemaah haji, namun setakat ini belum dinyatakan kadarnya.

Ia mengundang kebimbangan sesetengah pihak jika pada akhirnya jemaah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk menampung kenaikan tersebut.

Malaysiakini melakukan tinjauan pandangan beberapa bakal haji yang dijadual berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi.

Bagi yang berkemampuan, peningkatan itu dianggap munasabah namun lain pula pendapat disuarakan dalam kalangan bakal jemaah haji yang berpendapatan rendah.

Harap semua dimudahkan

Bagi Zamri Abdullah, 35, dia memahami sebab di sebalik peningkatan kos tersebut berikutan peningkatan cukai dan caj perkhidmatan, lebih-lebih lagi berikutan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kita sedia maklum yang landskap dunia telah berubah kerana Covid-19 dan sektor haji juga tidak terkecuali, kos untuk menampung keperluan prosedur operasi standard (SOP), perjalanan kami ke sana, perubahan sistem dan sebagainya.

“Semua itu menyumbang kepada kenaikan kos, tidak dapat dinafikan,” katanya yang merupakan seorang ahli korporat di sebuah syarikat swasta.

Ditanya mengenai persediaan mengerjakan haji dengan kenaikan kos yang diumumkan, Zamri berkata dia bersedia dengan sebarang kemungkinan dan tidak menganggap perkara ini terlalu membebankan.

“Saya sudah tunggu giliran dua tahun untuk pergi menunaikan haji tetapi terhalang sebab sempadan ditutup, ini masa yang saya nantikan.

“Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan,” tambahnya.

Seorang ahli perniagaan, Firdaus Yusof, 40, juga berpendapat kenaikan kos tersebut masih berpatutan kerana kos selebihnya masih ditampung TH.

Firdaus Yusof

“Peningkatan sebanyak 12 peratus masih lagi berpatutan kerana sebelum ini jemaah haji Muassasah hanya membayar dalam RM9,000, manakala selebihnya disubsidi oleh Tabung Haji.

"Oleh itu 12 peratus kenaikan itu masih boleh dipertimbangkan," katanya.

Ada yang tak setuju

Berbeza pula pandangan bakal haji daripada golongan berpendapatan rendah apabila rata-rata mereka memberi respons tidak bersetuju.

“Tak setuju. Sebab golongan miskin atau yang kurang berkemampuan takkan mampu untuk menunaikan haji,” kata seorang pekerja sendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Aiza.

Menurut Aiza, dia dan suaminya yang sudah menunggu selama 10 tahun untuk menunaikan ibadah tersebut mengakui terkejut mendengar berita kenaikan kos haji tahun ini.

Justeru Aiza berharap kerajaan tidak mengurangkan subsidi haji, sebaliknya mengekalkan subsidi seperti sebelumnya.

Sementara itu, seorang suri rumah Noor Aziah Hussin, 60, juga berpendapat kenaikan kos berkenaan tidak wajar memandangkan kos sebelum ini sudah membebankan untuknya.

“Memang tak ada siapa nak pergi Mekahlah jawabnya, nak cari RM10,000 pun seksa,” katanya.

Pun begitu, Noor Aziah berharap kerajaan dapat menampung sekurang-kurang separuh daripada peningkatan kos haji yang baru diumumkan terutamanya di kalangan golongan B40.

Sementara itu Wadihah Rosli, 23, juga menyuarakan pendapat yang sama.

Wadihah berkata dia sekian lama menyimpan hasrat menunaikan haji bersama ibu bapanya.

Wadihah Rosli

Namun dia kini terpaksa reda kerana hajat itu tidak kesampaian apabila kedua-dua orang tuanya meninggal dunia.

Justeru dia sangat berharap urusan haji bersama adik-beradiknya yang lain akan dipermudahkan, tanpa kos yang membebankan.

“Kalau nak naikkan juga, janganlah naik sehingga 12 peratus, tinggi sangat tu, sedangkan 2 peratus pun perlu dipertimbangkan, apatah lagi 12 peratus,” katanya.