Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin: Boleh bincang dengan semua parti bukan PH, bukan Bersatu saja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kenyataan Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pakatan Harapan (PH) terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) merujuk kepada semua parti bukan komponen PH, dan bukannya Bersatu sahaja.

"Saya kata kami terbuka membuat perbincangan dengan semua parti bukan komponen PH. Saya tidak menyebut Bersatu secara spesifik.

"Melihat keputusan PRN Melaka dan Johor, kami berpendapat bahawa adalah keperluan melibatkan yang lain," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung PKR itu berkata demikian ketika menjelaskan laporan Utusan Malaysia bahawa PH tidak menutup pintu rundingan dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata bahawa sebarang kerjasama antara parti politik masih di peringkat perbincangan.

"Setakat ini, tiada idea yang konkrit. Tetapi, kami terbuka kepada perbincangan.

"Walaupun apa pun keputusannya, ia akan menjadi konsensus oleh PH," katanya.

Konsep 'khemah besar' atau 'big tent' merupakan satu konsep melibatkan semua parti pembangkang bertanding dalam pemilihan dengan mengelak pertembungan.

Gagasan ‘khemah besar’ pernah digunakan sewaktu menghadapi PRU14, melibatkan Bersatu dan parti Warisan sehingga membawa kepada kemenangan PH.

Presiden Amanah Mohamad Sabu antara pemimpin PH yang terus menekan kepentingan menjalin semula gagasan 'khemah besar' menghadapi BN pada PRU15.

Namun, beberapa pemimpin PH turut memberi pandangan bahawa konsep 'khemah besar' tidak perlu melibatkan Bersatu yang menjadi dalang dalam 'Langkah Sheraton'.

Pada Feb 2020, parti Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin bertindak keluar daripada gabungan PH dan bekerjasama dengan Umno dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).