Skip to main
Logo Malaysiakini

Liew Chin Tong ketua pembangkang baru Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dilantik sebagai ketua pembangkang negeri yang baru.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor pada 8 April lalu.

"Menerusi mesyuarat ini, Pimpinan Pakatan Harapan Johor telah bersetuju melantik Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor yang baru.

"Liew Chin Tong akan menggembeling komitmen wakil-wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam Dewan demi kebaikan Negeri Johor,” menurut kenyataan media PH Johor hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Amanah Johor, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Menurut kenyataan tersebut, mereka berharap reformasi DUN Johor sepertimana yang telah dirintis kerajaan PH dapat diteruskan.

"Antaranya ialah mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang, mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri dan pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuklah pembangkang," katanya.

Liew memenangi kerusi N46 DUN Perling pada pilihan raya negeri Johor yang berlangsung bulan lalu.