Skip to main
Logo Malaysiakini

Antilompat parti: PM akan panggil satu lagi sidang khas, kata PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen untuk memanggil satu lagi sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir Mei ini, menurut PH.

Sidang khas itu akan menyentuh pindaan perlembagaan yang diperlukan serta rang undang-undang (RUU) yang khusus berkenaan isu wakil rakyat yang melompat.

Keputusan itu dibuat susulan perbincangan antara Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pimpinan utama PH, kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Menurut majlis itu, pihaknya telah menyatakan pendiriannya kepada kerajaan bahawa sebarang pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan perlu diperhalusi dan Perkara 48(6) juga perlu dipinda.

Perkara 48(6) berkenaan hilangnya kelayakan untuk tempoh lima tahun individu yang letak jawatan sebagai ahli parlimen untuk kembali memegang jawatan itu, perlu dimansuhkan. 

"Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan dan melibatkan semua parti," kata mereka.

Pendirian itu disokong oleh Wan Junaidi yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan ditubuhkan.

Namun Wan Junaidi berkata sidang Dewan Rakyat bagi meneliti hasil jawatankuasa itu akan diadakan “selepas Hari Raya”.

Majlis Presiden PH juga membayangkan RUU pindaan perlembagaan persekutuan yang dibentang Wan Junaidi hari ini tidak akan diundi.

PH sebelum ini bekerjasama dengan kerajaan bagi merangka undang-undang bagi menangani masalah lompat parti menerusi sejumlah jawatankuasa dan sesi libat urus.

Namun pada 6 April lalu, kabinet memutuskan perubahan terhadap RUU tersebut. Susulan itu, PH turut menukar pendirian mereka.