Skip to main
Logo Malaysiakini

Lans koperal, 4 rakan didakwa miliki air ketum

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang anggota polis wanita berpangkat lans koperal bersama empat rakan didakwa secara bersama di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki air ketum di sebuah rumah dalam kejadian pada 7 April lalu.

Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, dan empat lagi tertuduh iaitu Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27; Bidah Napi, 30; Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, dan Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Mohd Izdham Che Ani.

Dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama memiliki cecair racun mytragynine (ketum) sebanyak 1.5 liter kira-kira jam 3.25 pagi di sebuah rumah di Kubang Kerian, Kota Bharu, pada 7 April.

Dalam pertuduhan kedua pula, mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 1.0 liter cecair racun mytragynine di lokasi dan waktu yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh empat tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Intan memohon agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah kerana Raja Rozalia adalah ibu tunggal yang menyara dua anak dengan gaji bersih RM1,300 sebulan.

Empat tertuduh lain pula hanya bekerja sebagai peniaga atas talian dan peniaga kosmetik dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000, katanya.

Mohd Izdham kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin bagi setiap orang. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Jun depan.