Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat pemimpin PSM isu kenyataan berkaitan petani Ipoh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berhubung hantaran Facebook, menuntut pembebasan seorang petani yang ditahan di Perak pada Jumaat lepas.

Polis berkata siaran media sosial pada hari yang sama adalah "berniat jahat dan memutar belit fakta mengenai kejadian tersebut, kononnya agensi kerajaan berkenaan dibantu oleh pihak polis cuba menceroboh masuk ke tanah tersebut".

"Polis Perak menafikan bahawa terdapat unsur pencerobohan oleh agensi kerajaan yang dibantu polis dalam kejadian ini," kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Dia menambah kenyataan Facebook pemimpin PSM itu "dengan niat hendak mengapikan dan menghasut sentimen orang awam terhadap kredibiliti agensi-agensi kerajaan terbabit, khususnya PDRM," katanya.

Michael Jeyakumar disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan, yang menangani hasutan orang awam untuk melakukan jenayah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Sebagai tindak balas, bekas ahli parlimen Sungai Siput itu berkata dia akan bekerjasama dengan polis.

"Harap polis juga akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mendapat manfaat daripada pemberian hak milik tanah negeri kepada syarikat swasta dengan harga diskaun yang sangat besar. Kami mempunyai bukti," katanya di Twitter.

Generasi bertani di atas tanah

Dalam catatan Facebook yang kini menjadi subjek siasatan, Michael Jeyakumar menggesa agar petani Tan Tean Chee dibebaskan daripada tahanan polis.

Tan ditahan pada Jumaat, susulan insiden membabitkan anak syarikat kerajaan negeri hari itu.

Bekas timbalan pengerusi PSM itu mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah "menceroboh" ladang Tan tanpa notis, untuk menjalankan ujian ke atas tanah.

“Ini walaupun Mahkamah Tinggi pada 1 April menolak permohonan lisan oleh PKNP untuk menjalankan kerja-kerja tersebut,” tulisnya.

Tan dibebaskan dengan jaminan polis pada 1.30 pagi Sabtu, selepas ditahan selama tiga jam di balai polis daerah Ipoh.

PSM berkata Tan adalah antara 132 petani dalam pertikaian undang-undang yang sedang berlangsung dengan PKNP untuk mempertahankan hak ke atas tanah yang telah mereka usahakan sejak beberapa generasi.

Para petani menerima notis pengusiran Disember lalu.

Michael Jeyakumar sebelum ini berkata petani itu pada 1989 cuba memohon Lesen Pendudukan Sementara daripada negeri itu tetapi didakwa tidak mendapat maklum balas.