9 ditahan SPRM berkait rasuah projek Petronas
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan sembilan individu sejak 8 April lalu bagi membantu siasatan isu rasuah projek di Petronas Carigali Sdn Bhd.
Dalam kenyataan media hari ini, pihak berkuasa itu berkata, siasatan dilakukan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"SPRM ingin menjelaskan seorang daripada sembilan individu yang ditahan tersebut merupakan eksekutif muda dan bukannya ketua pegawai eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.
"Lapan lagi individu yang turut ditahan merupakan pemilik dan pegawai kanan syarikat-syarikat kontraktor yang menjalankan projek berkaitan isu rasuah tersebut," kata SPRM.
Semalam, Petronas mengesahkan salah seorang kakitangan eksekutif peringkat rendah kumpulan itu telah ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam rasuah.
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas negara itu turut menegaskan bahawa ia komited untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan tersebut dan menentang keras sebarang bentuk salah laku melibatkan kakitangannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai