Skip to main
Logo Malaysiakini

Beberapa MP minta pengecualian dari undang-undang antilompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wakil rakyat tidak seharusnya kehilangan kerusi mereka secara automatik jika mereka dipecat oleh parti, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional-Pagoh) berkata di bawah undang-undang itu, ahli parlimen yang disabitkan kesalahan tidak akan kehilangan kerusi mereka sehingga semua saluran undang-undang diselesaikan.

Bagaimanapun, jika undang-undang antilompat parti membenarkan nasib seseorang ahli parlimen ditentukan oleh kepimpinan parti, maka ia akan terbuka untuk penyalahgunaan, hujah bekas perdana menteri itu.

Penyelesaiannya, kata Muhyiddin (di atas), adalah untuk memansuhkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen ini menetapkan bahawa sebarang keputusan oleh parti tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah atas sebarang alasan.

"(Sekiranya undang-undang antilompat parti) dibentangkan, saya cadangkan kita semak semula Seksyen 18C. Kita patut benarkan seorang ahli parlimen mendapatkan keadilan di mahkamah sebelum mengosongkan kerusi," tambahnya.

Muhyiddin ketika itu membahaskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk menambah Perkara 3A kepada Perlembagaan Persekutuan, yang akan berfungsi sebagai "fasal pemboleh" (enabling clause) untuk undang-undang antilompat parti.

Larry Sng (PBM-Julau) memberitahu Dewan Rakyat bahawa ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka sebagai calon bebas tidak seharusnya tertakluk kepada undang-undang antilompat parti.

Sng berkata jika undang-undang sedemikian digunakan untuk menghalang seorang wakil rakyat bebas daripada menyertai parti pada pertengahan penggal, maka ia akan menjadi pencabulan hak perlembagaan untuk kebebasan berpersatuan.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng

"Mereka sepatutnya dikecualikan kerana mandat adalah daripada rakyat. Mereka menang atas kredibiliti mereka sendiri, bukan daripada parti. Mereka tidak menggunakan logo parti, slogan atau naratifnya, dan tidak mendapat pembiayaan daripada parti," tambahnya .

Sng memenangi kerusi Julau sebagai calon bebas. Dia kemudiannya menyertai PKR dan kemudian Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dia menambah, pada 2018, terdapat tiga ahli parlimen yang memenangi kerusi sebagai calon bebas dan hak mereka untuk menyertai parti politik harus dilindungi.

“Undang-undang di sini bukan untuk melindungi mana-mana pihak tetapi mandat rakyat,” tambahnya.

Guna logo parti lain

Sng menggesa Putrajaya untuk mempertimbangkan bagaimana undang-undang antilompat parti akan mengambil kira ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka atas tiket parti selain daripada mereka sendiri.

“Pada pilihan raya umum lalu, terdapat rundingan antara parti untuk menggunakan logo parti (orang lain) semasa pilihan raya.

"Apakah status calon yang menang atas tiket parti lain?" soalnya.

Pada 2018, calon Bersatu, DAP dan Amanah semuanya menggunakan logo PKR untuk pilihan raya umum kerana gabungan mereka belum didaftarkan secara rasmi lagi.

Bagaimana jika Parlimen tergantung?

Steven Choong (PBM-Tebrau) mencadangkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan juga dipinda kerana ia menghalang kekosongan Dewan Rakyat diadakan sekiranya kekosongan itu berlaku kurang dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong

Choong berhujah bahawa ini akan menyebabkan mana-mana undang-undang antilompat parti tidak berkesan.

Dia juga bertanya sama ada undang-undang sedemikian akan menghalang pembentukan gabungan baru sekiranya "Parlimen tergantung", iaitu tiada parti atau gabungan mempunyai wakil yang cukup untuk membentuk kerajaan.

"Perlukah kita meminta beberapa ahli parlimen mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil bagi menyelesaikan 'Parlimen tergantung'? Bagaimana jika pilihan raya kecil masih menyebabkan 'Parlimen tergantung'?" soalnya.

Satu lagi cadangan daripada Choong ialah membuang sistem "first-past-the-post" yang digunakan untuk pilihan raya Malaysia, yang menurutnya akan menyelesaikan masalah mengenai kesahihan kerajaan dan pembelotan.