Skip to main
Logo Malaysiakini

Azis: Kita buat apa di sini jika tiada pun undang-undang diluluskan?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Mohd Azzis Jamman (Warisan-Sepanggar) mempersoalkan langkah mengadakan sidang khas Dewan Rakyat, jika tiada apa yang akan diputuskan berhubung undang-undang antilompat parti hari ini.

Azis berpandangan tiada bahagian dalam cadangan pindaan perlembagaan yang dilihat relevan dengan isu lompat parti.

"Bukan itu saja, rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang dicadangkan juga tiada di ats meja kita. Jadi, untuk apa kita di sini? Saya ingat sidang khas hari ini untuk (meluluskan) RUU antilompat parti.

"(Selepas ini) akan ada sidang khas lagi. Kenapa panggil hari ini, kenapa tidak sekalikan saja (pindaan perlembagaan dan RUU antilompat parti)? Tiket kapal terbang dari Sabah ke Kuala Lumpur sekarang jauh lebih mahal daripada ke negara Eropah," kata Azis di Dewan Rakyat hari ini.

Pada mulanya sidang khas hari ini bagi memutuskan pindaan perlembagaan yang akan membuka jalan kepada pewartaan undang-undang bagi menangani isu lompat parti di kalangan wakil rakyat.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapannya hari ini membayangkan tiada undian akan dilaksanakan hari ini, memandangkan perkara itu akan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Terdahulu, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dan Anthony Loke (PH-Seremban) turut berkaa pindaan perlembagaan dan RUU antilompat parti sepatutnya dibentang dan diundi secara serentak.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) turut sependapat dengan Azis dengan menyifatkan cadangan pindaan perlembagaan tidak berkata apa-apa tentang amalan lompat parti dan boleh ditafsirkan secara meluas.

"Isu yang perlu dijelaskan adalah tiada jaminan perundangan yang akan digubal kelak adalah semata-mata untuk menghalang wakli rakyat daripada lompat ke parti lain, tanpa sebarang tujuan lain," katanya dalam perbahasannya.

Dia turut mempersoalkan garis waktu bertentangan tentang RUU itu antara Wan Junaidi - yang menyatakan ia akan dilakukan ketika sidang Parlimen Julai ini - dengan pimpinan PH, yang menegaskan ia akan dimuktamadkan pada Mei.

"Adakah kita boleh percaya ini semua? Selepas satu tarikh ke satu tarikh, akhirnya kita yang lugai (keliru)," katanya.

Laporan oleh Kow Gah Chie, Geraldine Tong dan Ng Xiang Yi.