Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar kecewa bantuan tunai ePemula tak boleh beli 'online'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun pelancaran tunai ePemula oleh kerajaan bertujuan untuk meringankan beban ekonomi belia, penerima bantuan itu iaitu pelajar, bagaimanapun menghadapi masalah yang berbeza.

Ironinya, RM150 seorang yang disalurkan ke dalam e-wallet tidak boleh digunakan untuk membeli-belah dalam talian, luah pelajar yang kecewa di media sosial.

Sebaliknya, dana yang disalurkan itu bertujuan untuk digunakan di kedai secara fizikal, dengan mengimbas kod QR pedagang di kaunter kedai.

Pendaftaran ePemula dibuka hari ini untuk pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi tempatan, berumur 18 hingga 20 tahun.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bantuan e-tunai itu akan diagihkan melalui empat penyedia perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Diumumkan di bawah Bajet 2022, program ePemula juga bertujuan untuk "menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai oleh golongan belia".

Walau bagaimanapun, ramai pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan terhadap pelajar yang tinggal dan belajar di kawasan yang kedainya tidak menerima pembayaran e-wallet.

Seorang pengguna media sosial juga telah meminta penyedia platform e-dagang, Shopee untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

ShopeePay, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kredit RM150 hanya boleh digunakan untuk transaksi luar talian dalam kedai.

Ketika ramai sedang bergelut untuk mengakses kredit, ada yang telah menemui cara untuk menggunakan bantuan bagi pembelian dalam talian.

Ini termasuk menggunakannya untuk membeli kad tambah nilai ShopeePay di kedai serbaneka.

@Zaiful_edi mencadangkan supaya mengeluarkan dana berkenaan ke dalam akaun bank mereka, dengan mencipta kod QR peniaga sendiri menggunakan aplikasi Maybank QRpaybiz.

“Sebenarnya sesiapa yang mempunyai akaun perniagaan (bank) sudah boleh menggunakan kod QR DuitNow anda sendiri dan memindahkan dana keluar.

“Saya cuba menggunakan kod QR CIMB saya tetapi ia tidak berjaya. Ia hanya berfungsi jika penerima adalah seorang peniaga,” kongsi pengguna Twitter itu.

MOF telah memperuntukkan kira-kira RM300 juta untuk program itu, ia dijangka akan dimanfaatkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia yang layak.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan bermula hari ini dan akan berakhir pada 1 Jun.

Kredit e-tunai mesti dibelanjakan selewat-lewatnya pada 10 Jun 2022.

[Baca berita asal]